Wanita warga emas maut kemalangan - Utusan Malaysia

Wanita warga emas maut kemalangan

ANGGOTA bomba mengusung mayat Siti Khalijah Hassan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 148 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang wanita warga emas maut, manakala suaminya cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 148, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Air Putih, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang,
Siti Khalijah Hassan, 71, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di bahagian dada dan kepala, manakala suaminya, Nasruddin Hamzah, cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, difahamkan, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu sedang dalam perjalanan dari kediaman mereka di Felda Neram 2 ke Kampung Padang Kubu di sini bagi merawat Siti Khalijah yang mempunyai masalah kesihatan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Saga yang dinaiki warga emas itu telah hilang kawalan ketika melepasi selekoh dan terbabas ke kiri jalan serta terjunam di bawah cerun sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hanyan berkata, Nasruddin berjaya keluar dari kenderaannya selepas diselamatkan orang ramai manakala isterinya yang tersepit di tempat duduk sebelah pemandu berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Cheneh.

“Suami mangsa yang cedera telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×