PETALING JAYA: Satu Pelan Strategik Semikonduktor akan dirangka secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan itu bakal meliputi pakej insentif lebih menarik bagi mempertingkatkan kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end dalam industri semikonduktor di Malaysia.
“Hal ini penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) di Putrajaya, semalam.
Minggu lalu, Malaysia dilaporkan muncul sebagai destinasi yang tidak dijangka untuk industri semikonduktor global, di sebalik kegemaran konvensional China ekoran langkah syarikat-syarikat itu mahu melindungi kepentingan geopolitik mereka.
Akhbar perniagaan Financial Times yang berpangkalan di United Kingdom melaporkan berpuluh-puluh syarikat telah menubuhkan operasi di Malaysia dalam tempoh 18 bulan yang lalu, terutamanya di Pulau Pinang seperti gergasi cip Amerika Micron dan Intel, syarikat semikonduktor Eropah AMS Osram dan Infineon, dan Fengshi Metal Technology yang berasal dari Suzhou, China.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut memutuskan agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan.
Dalam pada itu, mesyuarat sama meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan bersetuju agar dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan kerjasama kerajaan pusat dan Kerajaan Negeri Perak.
“Ini merupakan titik tolak kepada usaha Kerajaan Madani untuk mempercepatkan pembangunan KIGIP yang dilihat sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara sementelahan pengoperasiaan KIGIP akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050,” katanya. – UTUSAN











