MINGGU ini merupakan minggu yang amat sibuk dengan pelbagai masalah dunia. Bermula dengan isu tentera Israel tembak mati tujuh pekerja bantuan kemanusiaan World Central Kitchen di Gaza, kes mahkamah bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, gempa bumi di Taiwan dan beberapa lagi.
Jika diamati, ada beberapa isu yang amat mengundang kemarahan dunia khususnya melibatkan tindakan Israel.
Namun, bukan isu ini yang saya ingin bincangkan pada minggu ini, tetapi berhubung isu sosial iaitu mengenai perkahwinan kanak-kanak bawah umur.
Perkahwinan kanak-kanak adalah masalah dunia dan dianggarkan 12 juta gadis di bawah umur 18 tahun berkahwin setiap tahun di peringkat global.
Jumlah ini bersamaan kira-kira 32,876 gadis dikahwinkan sehari atau 23 gadis setiap minit.
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan bahawa kira-kira 18 peratus kanak-kanak yang berkahwin sebelum usia 18 tahun adalah kanak-kanak lelaki sementara sekitar 82 peratus adalah kanak-kanak perempuan.
Sebagai berkongsi kisah menarik, memetik laporan Mirror.co.uk, pada 30 Mac lalu di Nungua, Ghana, seorang paderi berusia 63 tahun mencetuskan kemarahan ramai dengan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Paling mengejutkan, kanak-kanak itu dipilih sebagai pengantin ketika dia berusia enam tahun lagi.
Lelaki itu, dikenali sebagai Gborbu Wulomo Nuumo Borketey Laweh XXXIII, mengahwini gadis muda itu yang dilaporkan bernama Naa Okromo.
Perkahwinan itu berlangsung pada Sabtu, 30 Mac lalu. Pemimpin tempatan mempertahankan amalan yang mengejutkan itu dan menegaskan ia adalah tradisi untuk menjauhi lelaki lain dan suami perlu menunggu sehingga dia mencapai usia sah untuk melakukan hubungan suami isteri dan bersalin.
Seorang tetamu di majlis perkahwinan itu berkata, perkahwinan itu berlaku kerana adat lama yang mengatakan paderi mesti berkahwin dengan seorang anak dara.
Dia juga berkata tidak ada gadis berusia lebih dari sembilan tahun di Nungua yang masih perawan.
Paderi itu memilih kanak-kanak itu ketika dia baru berusia enam tahun. Kuil Gborbu Wulomo di Nungua di wilayah Greater Accra turut mempertahankan perkahwinan itu. Penduduk sekitar berkata, kanak-kanak itu masih bersekolah, dia tidak tinggal bersama suaminya, Gborbu Wulomo.
Seorang wakil kuil, Nii Bortey Kofi Frankwa II, menjelaskan kepentingan sejarah dan rohani perkahwinan itu.
Mereka berkata, Naa Okromo ialah seorang wanita jelmaan semula yang hidup lebih 300 tahun yang lalu dan kembali untuk memastikan ritual suci salah satu dewa yang tidak dilakukan selama bertahun-tahun dapat dilakukan.
Bagaimanapun, paderi itu perlu menunggu sehingga dia matang atau mencapai umur sah sebelum melakukan hubungan intim dengan isteri baharunya.
Nampaknya, masih ada bahagian dunia yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak atas tiket memurnikan adat dan budaya mereka.
Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan kemarahan ramai kerana kanak-kanak berhak untuk diberi perlindungan, disayangi, peluang melanjutkan pelajaran, tempat tinggal yang selesa dan kehidupan bahagia sebagaimana kanak-kanak lain.
Azman Ibrahim ialah Pengarang Luar Negara, Utusan Malaysia.










