PINDAAN baharu AUKU melalui Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Mac 2024 baru-baru ini merupakan antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk menggalakkan budaya berorganisasi dalam kalangan pelajar.
Langkah proaktif ini penting untuk menyegarkan gerakan yang diterajui oleh pelajar kepada pelajar sendiri sesuai dengan keupayaan mereka untuk mengurus kedewasaan dan kematangan diri, sekaligus melenyapkan persepsi umum yang menganggap gerakan yang diterajui oleh pelajar yang semakin lesu.
Keupayaan pelajar dalam menguruskan kewangan dan sumber dana adalah penting sebagai nilai tambah kepada pelajar melalui Seksyen 15A dalam pindaan RUU AUKU 2023 ini dengan memberi kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain.
Pada masa sama, pindaan Seksyen 48(11) Jadual Pertama membenarkan di setiap universiti untuk menyelenggara kumpulan wang (akaun). Menerusi perubahan ini, suara pemimpin pelajar semakin diberikan tempat dan peluang sebagai usaha menjadikan mereka pemimpin matang dalam menguruskan kelestarian perjalanan organisasi. Secara tidak langsung, penglibatan pelajar dalam pengurusan organisasi membolehkan pelajar menyumbang kepada pembangunan strategik universiti.
Pindaan Seksyen 48(4) Jadual Pertama pula membenarkan tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar berdasarkan kalendar akademik, salah satu perubahan penting dalam menjamin hak kebebasan pelajar secara harmonis sepanjang pengajian pelajar di universiti. Hak kebebasan pelajar merupakan elemen utama dalam masyarakat demokratik menghormati hak asasi manusia yang berteraskan kepada nilai agama, kebudayaan dan norma setempat.
Pengiktirafan kepada penglibatan pelajar dalam kepemimpinan dan tadbir urus aktiviti juga dilihat melalui pindaan kepada pemakaian Seksyen 49(2) Jadual Pertama. Pindaan seksyen ini turut menyaksikan badan pelajar universiti juga menerima kemudahan sama seperti yang diterima oleh MPP. Pembabitan pelajar dalam pengurusan aktiviti akan membuka lebih banyak peluang untuk mencipta dan melaksanakan inovasi dalam pengajaran, penyelidikan, aktiviti kokurikulum serta meningkatkan pencapaian pelajar.
Akhirnya, usaha pembangunan karakter pelajar dari segi pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah dapat dilaksanakan dengan memberi lebih banyak ruang untuk mereka berfikir secara kreatif, inovatif dan mencipta sesuatu yang baharu.
Pembabitan pelajar sebagai pemegang taruh utama dalam proses membuat keputusan di peringkat universiti membantu dalam keberkesanan dan kelestarian universiti, serta memastikan pengalaman pembelajaran berkualiti kepada pelajar.
Pindaan RUU ini sejajar dengan fokus landasan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 dalam menyediakan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya. Kini telah sampai masanya pelajar tidak hanya menjadi pewaris ilmu, tetapi juga menjadi agen dalam perubahan yang dinamik.
Pembangunan hala tuju pelajar memainkan peranan utama dalam membentuk lanskap pendidikan dan masyarakat. Justeru, menerusi pindaan AUKU, hala tuju pembangunan pelajar bukan hanya berkisar kepada bidang akademik semata-mata, tetapi turut mempersiapkan pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran, lebih bertanggungjawab dan menjadi rakan kepada pembangunan negara. – UTUSAN
PROF. MADYA DR.
MOHD. MURSYID ARSHAD
Pensyarah Pendidikan Pengembangan
(Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian
Pendidikan, Universiti Putra Malaysia










