PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berdukacita dan mengucap takziah kepada keluarga Datuk Ahmad Rejal Arbee atas pemergian Tokoh Wartawan Negara 2014 itu.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham bukan sahaja tokoh wartawan terkemuka tetapi dikenali sebagai antara pengamal media terawal meneroka konsep media dwibahasa.
“Jasa, sumbangan dan buah fikiran yang dilontarkan Allahyarham meninggalkan kesan yang mendalam dalam dunia akhbar dan kewartawanan di Malaysia.
“Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisiNya, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini
Terdahulu dilaporkan, Ahmad Rejal,84, meninggal dunia awal pagi hari ini dan perkara itu disahkan isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.
Ahmad Rejal merupakan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH).
Allahyarham mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi pewarta luar negeri pertama agensi berita itu pada 1973.
Ahmad Rejal juga memegang jawatan Pengarang Kumpulan BH bermula 1998 hingga 2003. – UTUSAN










