SAUDARA PENGARANG,
SAYA menyokong penuh saranan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan perbahasan Titah Diraja baru-baru ini untuk kerajaan melakukan reformasi terhadap kadar pemberian mengikut kepala kepada negeri dalam Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan perlu segera mengkaji semula kadar nilai pemberian kepada kerajaan negeri yang termaktub dalam Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 (Akta 622) yang tidak pernah dipinda hampir 22 tahun. Pindaan ini perlu segera dilakukan dengan mengambil kira peningkatan kadar cukai, bilangan penduduk setiap negeri, kos sara hidup dan kadar inflasi semasa.
Kerajaan seharusnya menetapkan kadar yang lebih relevan dan progresif dengan formula baharu yang sesuai dengan isu-isu kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat. Kerajaan sepatutnya melakukan kajian dan semakan terhadap kadar pemberian secara berkala sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun sekali.
Sudah pasti, dalam tempoh yang begitu lama dengan tiada pindaan, maka kecekapan dan agenda pembangunan yang direncanakan kerajaan negeri akan terjejas. Dalam hal ini, kemampuan negeri-negeri untuk melaksanakan kuasanya dalam Senarai Bersama khususnya yang berkait dengan kebajikan rakyat seperti pembangunan wanita dan anak muda akan turut terjejas.
Sebagaimana yang disebut Ahmad Samsuri, meskipun penerimaan agihan yang lain seperti Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Tahap), pemberian peruntukan Sistem Maklumat
Rekod Jalan Raya (Marris) dan pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada negeri meningkat, namun begitu kadar pemberian mengikut kepala seperti dalam Jadual Ke-10 tidak pernah disemak semula sejak begitu lama.
Bagi memastikan Malaysia dapat menuju ke arah demokrasi yang matang, maka pemberian itu adalah keperluan negeri dan rakyat dan tidak boleh sama sekali dijadikan permainan politik.
Kerajaan Persekutuan juga disarankan mewujudkan mekanisme khusus bagi memastikan kadar setiap pemberian yang diperuntukkan dalam perlembagaan dapat disemak dan diberikan secara telus sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara lain seperti Kanada dan Australia. – UTUSAN
DATUK CHE MOHAMAD ZULKIFLY JUSOH
Ahli Parlimen Besut










