Sewa tapak bazar Rama­dan mahal punca harga naik – PM

Sewa tapak bazar Rama­dan mahal punca harga naik – PM

Makanan basi
ORANG ramai membanjiri bazar Ramadan untuk mendapatkan juadah berbuka puasa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sewa tapak bazar Rama­dan tinggi yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca peniaga menaikkan harga jualan, bukannya akibat kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam lawatan beliau ke beberapa tapak bazar Ramadan sebelum ini, mendapati kos sewa tapak terlalu tinggi.

Justeru, beliau mengingatkan PBT agar tidak menekan peniaga dengan meletakkan kos sewa tapak yang mahal atau menaikkan kadar sewa tapak bazar de­ngan sewenang-wenangnya.

“Kita telah memberikan arahan, ­kalau itu yang dikendalikan oleh majlis ­perbandaran, jangan ‘tekan’ (sewa) dalam keadaan sekarang,” kata beliau pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta kerajaan menjelaskan mengenai impak kenaikan SST sejak 1 Mac yang menimbulkan rungutan dalam kalangan peniaga bazar Ramadan yang mendakwa kerugian dan tidak dapat membayar kos sewa tapak.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, selain kos sewa tapak yang tinggi, sebahagian PBT turut menyerahkan pengendalian tapak bazar kepada ejen-ejen, sekali gus menjadikan harga tapak lebih mahal.

“Akhirnya, penyewa tidak menyewa secara langsung daripada majlis perbandaran. Jadi, kos (sewa itu) meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui kadar baharu SST memberi kesan kepada kadar inflasi negara, namun kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kesannya tidak ke­tara iaitu peningkatan sekitar 0.2 peratus sahaja.

Katanya, ini kerana kadar cukai itu tidak melibatkan semua aspek melainkan aktiviti berkaitan perkhidmatan dan perniagaan yang kurang membabitkan rakyat secara langsung.

“Saya setuju, memang ada (inflasi meningkat), cuma kalau sekitar dua peratus, ia masih terkawal dan masih rendah.

“Ada juga kesan kepada rakyat, maka sebab itu kita cuba bantu dengan menambah Hak Pengeluaran Sendiri (SDR) dan beberapa tambahan yang lain,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Mohd. Shahar meminta Perdana Menteri menjelaskan kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan SST dari enam peratus kepada lapan peratus.

Sementara itu, ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Anwar bimbang terhadap kemunculan budaya sosial baharu termasuk ketidakupayaan berfikir lebih tiga minit.

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap sikap membaca dalam kalangan rakyat sejak menjadi Menteri Pendidikan dahulu.

“Pengkritik telah melahirkan kebimbangan kemunculan budaya sosial baharu, dengan singkatan-singkatan, ketidak­upayaan berfikir lebih tiga minit, ia berbahaya.

“Jadi harus usaha yang lebih, seperti saya pernah gesa seperti ketika dahulu, agar ada majlis menggalakkan anak-anak membaca,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×