SHAH ALAM: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan sengaja berniat melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.
Stoking itu dipamerkan di rak pameran jualan pasar raya berkenaan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 13 Mac lalu kira-kira pukul 6.30 pagi di KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Mart) beralamat di No. 45, Jalan PJS 11/7, Bandar Sunway.
Keen Kan, 57, didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Turut didakwa ialah isteri beliau, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, dan tiga pengarah yang juga pemilik syarikat pengedar stoking berkenaan iaitu Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat.
Selain mereka, turut dituduh ialah KK Mart dan syarikat pengedar, Xin Jian Chang Sdn. Bhd. KK Mart diwakili Kee Kan, manakala Xin Jian diwakili Chin Huat.
Li Huay, 62; Hui San, 36; dan Chin Huat, 61, dituduh bersubahat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Muhamad Nas Mahadzir, selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Kee Kan, 57, dan Siew Mui, 53, memohon mahkamah mengurangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan alasan pertuduhan yang dihadapi mereka boleh diikat jamin.
“Anak guam saya adalah pegawai utama dalam syarikat yang mempunyai 5,000 pekerja dekat 810 cawangan seluruh negara termasuk di Nepal, India dan Brunei. Beliau juga aktif dalam pergerakan organisasi bukan kerajaan serta seorang yang dermawan.
“Jadi, saya percaya tiada sebab untuk beliau dan isteri untuk tidak hadir ke mahkamah (sepanjang prosiding perbicaraan),” katanya.
Peguam Lau Yi Liong yang mewakili Xin Jian Chang dan tiga pengarah syarikat itu, turut mengemukakan mitigasi dan memohon jumlah jaminan sama.
Hakim bagaimanapun membenarkan tawaran jaminan pihak pendakwaan iaitu RM10,000 bagi setiap individu dan menetapkan 29 April ini, sebutan semula kes bagi pengurusan dan penyerahan dokumen.
Dalam prosiding tersebut, Kee Kan dan Siew Mui diwakili Rajpal yang turut dibantu Datuk David Gurupatham, Datuk R.S Sodhi, Datuk Theng Book dan James Ee.
Pasukan pendakwaan pula diketuai Masri dan dibantu oleh Khairul Azreem Mamat, Ku Hayati Ku Haron, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Mohd. Izhar.
Dalam pada itu, KK Mart kelmarin telah memfailkan saman ke atas Xin Jiang Chang dan pengarahnya, Soh Chin Huat.
KK Mart mendakwa, Xin Jiang Chang telah mensabotaj perniagaannya dan mendedahkan mereka kepada kebencian, boikot, serta ugutan sehingga terpaksa menanggung kerugian.
KK Mart antara lain menuntut ganti rugi RM1.5 juta setiap minggu sehingga tarikh penghakiman akibat kehilangan keuntungan daripada purata perniagaannya.
KK Mart juga memohon ganti rugi akibat kerosakan nama jenama plaintif sebanyak RM10.5 juta. Plaintif turut menuntut RM20.3 juta bagi pembatalan cadangan penyenaraian Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. – UTUSAN










