Keputusan mahkamah diharap tamatkan isu KK Mart - Utusan Malaysia

Keputusan mahkamah diharap tamatkan isu KK Mart

KK Mart
CHAI Kee Kan ditemui pemberita bersama peguam, Rajpal Singh dan David Gurupatham selepas prosiding terhadap pertuduhan mereka di Mahkamah Sesyen selesai, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masyarakat umum diharap tidak lagi menimbulkan isu berkaitan kalimah ‘Allah’ yang membabitkan sebuah cawangan kedai serbaneka KK Supermart & Superstore (KK Mart) selepas Mahkamah Sesyen membuat keputusan, hari ini.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili pengasas dan pengerusi eksekutif syarikat itu, Datuk Seri Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui berkata, mahkamah sudah pun membuat keputusan membebaskan kesemua pengarah dan mendenda syarikat yang terlibat.

“Dalam representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) bahawa syarikat perlu mengambil tanggungjawab sedangkan pengarah tidak ada di situ iaitu di salah satu kedai daripada lebih 800 cawangan yang mana perkara itu berlaku.

“Mereka pun bersetuju syarikat perlu mengambil tanggungjawab.Syarikat pun mengambil tanggugnjawab dengan mengaku salah oleh wakil mereka bagi kedua-dua syarikat (dan Xin Jian Chang Sdn Bhd) dan disabitkan kesalahan serta denda RM60,000 bagi satu kesalahan yang dipanggil sebagai non seizable offence,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Terdahulu, Hakim Muhamad Anas Mahadzir melepas dan membebaskan (DNA) Kee Kan, 57, dan isterinya, Siew Mui, 53, daripada pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung stoking tertera kalimah Allah.

Turut mendapat perintah sama adalah tiga pengarah syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn. Bhd iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36 atas pertuduhan bersubahat mengenai kesalahan sama.

Pertuduhan dihadapi KK Mart dan Xin Jian Chang adalah masing-masing sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah dan bersubahat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Muhamad Anas dalam penghakimannya menegaskan agar syarikat-syarikat tersebut lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat muslim di negara ini.

Sementara itu, Kee Kan ketika ditemui memberitahu, sedih dengan situasi dihadapi oleh dirinya sendiri, syarikat serta keluarganya dan menganggap tempoh empat bulan dilalui ketika prosiding sebagai masa yang panjang.

“Hari ini sangat penting bagi kami dan dalam tempoh empat bulan lalu saya, isteri dan keluarga serta rakan-rakan sekerja dan syarikat menempuh detik sukar. Ia bukan suatu perjalanan yang mudah untuk sampai ke hari ini.

“Saya amat sedih atas apa yang terjadi kerana tidak pernah berlaku dan tak akan dapat dilupakan dalam hidup saya. Namun, saya ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan termasuklah rakan sekerja, pertubuhan yang saya sertai dan rakan-rakan pelbagai latar belakang bangsa dan agama, dalam dan luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, peguam yang turut menyertai pasukan pembelaan, Datuk David Gurupatham mewakili KK Mart memaklumkan saman dikemukakan pihaknya terhadap syarikat pembekal kini berada dalam peringkat pengurusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN