PETALING JAYA: Dua kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah membabitkan kedai serbaneka KK Mart dan kilang pengedar sudah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara (AGC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan KK Mart dan kilang pengedar di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Kata beliau, polis sedang menunggu arahan daripada AGC untuk tindakan selanjutnya.
“Dalam siasatan kita, sebanyak 143 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuka yang mana dua individu mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut telah dituduh manakala dua lagi dibuka terhadap kilang pengedar dan pihak KK Mart,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, semalam.
Mohd. Shuhaily berkata, seramai 174 saksi sudah diambil keterangan termasuk pekerja KK Mart, pembawa lori dan pekerja kilang.
Jelas beliau, berdasarkan siasatan, sebanyak 18,000 pasang stoking ditempah daripada pihak pengedar pada Februari lalu.
“Bagaimanapun, sebanyak 14 pasang stoking yang tertulis kalimah Allah ditemukan yang dijual di kedai serbaneka tersebut selain di kilang pengedar.
“Stoking itu mula diedarkan pada Mac lalu sebelum dikesan pada 13 Mac lalu yang tular dalam media sosial,” katanya.
Justeru, beliau menyeru mana-mana individu yang ada mengesan stoking sedemikian dijual di premis melaporkannya kepada polis.
“Sesiapa yang sudah terbeli, kita minta jangan pakai stoking terbabit,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.
Seri Paduka mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu itu berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
Pada 16 Mac lalu, pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya sebelum tular dalam media sosial. – UTUSAN










