Projek maut: Lagi tragedi di SUKE - Utusan Malaysia

Projek maut: Lagi tragedi di SUKE

SEBUAH kereta remuk ditimpa komponen kren gantri di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tragedi melibatkan projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) semalam merupakan kali keenam dalam tempoh dua tahun sekali gus mengundang persoalan tentang keselamatannya.

Dalam kejadian di Jalan Alam Damai, Cheras semalam, komponen kren gantri terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan menyebabkan pemandunya seorang warga tempatan cedera parah manakala tiga daripada empat pekerja projek pembinaan tersebut meninggal dunia.

Ia kejadian terbaharu selepas dua pekerja kilang wanita maut apabila van dinaiki mereka dihempap perancah binaan yang runtuh pada 3 Mac lalu di Desa Tun Razak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidik utama Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, insiden lebih dari lima kali melibatkan projek yang sama menimbulkan persoalan sama ada kontraktor yang bertanggungjawab ke atas projek itu benar-benar mengutamakan keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya.

Katanya, insiden itu juga akan menyebabkan pengguna fobia dan berasa takut untuk menggunakan jalan raya yang melalui kawasan projek sedang dalam pembinaan kerana bimbang mengancam keselamatan jika tragedi seumpamanya berulang.

“Ini perkara yang serius kerana sudah enam kali kejadian berlaku dalam tempoh dua tahun melibatkan projek SUKE. Kemalangan menjadi semakin kerap kerana banyak struktur binaan yang tinggi di sepanjang jalan. Yang jadi persoalan, adakah prosedur operasi standard (SOP) untuk keselamatan di kawasan pembinaan ada masalah atau adakah mereka benar-benar mematuhi SOP itu?

“Amaran telah dikeluarkan beberapa kali, tetapi kejadian masih berlaku. Sudah sampai masa aspek undang-undang diperketatkan. Pengguna lalu sahaja jalan yang melibatkan projek SUKE, tapi kita tidak tahu apa akan berlaku. Kalau sampai ada orang mati dan mengancam keselamatan, mereka perlu bertanggungjawab. Kerajaan perlu buat sesuatu dan tidak boleh berdiam diri sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Mohd. Rosli Hainin menyifatkan projek SUKE sepatutnya mengambil kira kawasan pembinaan yang melibatkan pengguna jalan raya.

“Keselamatan pengguna perlu dititikberatkan jika kawasan pembinaan melibatkan kawasan penduduk yang mempunyai kepadatan tinggi. Malah, kawasan pembinaan perlu berjauhan dengan pengguna jalan raya,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya laluan jalan yang melibatkan projek SUKE perlu dilindungi dengan jaringan keselamatan.

“Jaring itu diperlukan sekiranya kawasan pembinaan hampir dengan jalan raya dan bahan-bahan binaan cenderung untuk jatuh. Perkara ini perlu diberi perhatian supaya setiap kali terjatuh, ia tidak akan kena kepada pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×