PADANG TERAP: Sejak memulakan perniagaan kira-kira 21 tahun lalu, kuih-muih dijualnya tetap dengan harga 10 sen sebiji yang langsung tidak pernah dinaikkan bagi memberi peluang orang ramai membelinya.
Namun, dek kerana peningkatan mendadak harga barangan keperluan termasuk bahan mentah untuk menghasilkan kuih, Roslina Saad, 55, terpaksa menaikkan sedikit harga 15 jenis kuih dijualnya.
Bagaimanapun, perniagaan Roslina di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang tetap laris seperti biasa apabila pelanggan berpusu-pusu membeli kuih-muih atau kali ini dinamakan Cucoq Semulut yang ditawarkan pada harga RM1 bagi tujuh biji kuih.
“Barang sekarang naik mendadak, jadi saya terpaksa jual tujuh biji kuih dengan harga RM1. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan sama macam saya jual sebelum ini, sebiji sekupang (10 sen).
“Pelanggan tidak mengeluh apa-apa mengenai perubahan harga ini kerana bagi mereka tetap berbaloi dan masih boleh diterima,” katanya ketika ditemui, semalam.
Roslina berkata, dia mahu menurunkan harga kuih-muih itu kepada harga asal tahun hadapan sekiranya kos bahan mentah kembali normal.
“Tujuan utama kuih-muih dijual pada harga ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah menikmatinya pada harga murah selain sebagai amal jariah kepada penduduk setempat.
“Kesian dekat orang ramai, sekarang ini pendapatan tidak menentu, barang mahal, jadi saya jual dengan harga seperti ini. Mereka boleh beli semua jenis kuih untuk merasa,” katanya.
Tambahnya, setiap hari dia menyediakan sehingga 8,000 biji aneka jenis kuih termasuk buah melaka, karipap, onde-onde, lopes, ketayap dan pelbagai lagi yang kadangkala habis terjual hanya dalam tempoh kurang dua jam.
Bagi pembeli, Marhaidi Che Bashah, 53, harga tersebut masih amat berpatutan yang sudah tentu dapat membantu penduduk berpendapatan tidak menentu seperti penoreh getah, pekerja ladang kelapa sawit dan petani.
“Saya rasa jualan Cucoq Semulut dengan harga ini sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang, memang menjadi tumpuan dan saya tengok hari-hari habis terjual, yang tinggal hanya bekas,” katanya. – UTUSAN










