Rumah harga setengah juta mula dapat permintaan - Utusan Malaysia

Rumah harga setengah juta mula dapat permintaan

THE Ashwood, projek perumahan mewah terbaharu Paramount Corp. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDIAMAN ­dengan harga bermula RM500,000 hingga RM1 juta sering kali dianggap tidak ma­suk akal.

Namun, seiring peredaran zaman, hartanah bernilai tinggi itu mula menjadi pilihan terutama di kawasan elit sekitar Lembah Klang.

Malah kediaman yang men­cecah setengah juta ke atas itu tidak dinafikan agak ‘berpatutan’ apabila diukur dengan kea­daan reka bentuk rumah, lokasi strategik mahupun kelengkapan fasiliti yang canggih.

Jadi, sejauh manakah rumah tersebut mendapat sambutan dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu ketika ini?

Berdasarkan data Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), rumah bernilai RM300,000 hingga RM500,000 menguasai pasaran dengan 47 peratus pada separuh kedua 2023.

Namun, rumah berharga RM500,000 hingga RM1 juta mula mendapat tempat apabila menguasai 32 peratus pelancaran rumah pada tempoh sama yang tidak jauh beza dengan rumah berharga RM300,000 hingga RM500,000.

Bagi Perunding hartanah, Muhammad Izzat Emmeir İsmail berkata, beliau yang memfokuskan jualan rumah jenis rumah subsale turut menarik minat pembeli bagi kediaman bertanah di Lembah Klang dengan harga bermula RM500,000 ke atas.

“Pembeli akan menghubungi saya melalui iklan di platform pengiklanan seperti Mudah, propertyguru serta iproperty.

“Bagi rumah kategori rumah bertanah (teres, semi D, banglo) hartanah dalam kadaran harga RM500,000 memang mendapat permintaan yang tinggi terutama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

“Faktor utama adalah keba­nyakan rumah bertingkat seperti kondominium juga telah pun mencecah RM300,000 ke atas malah ada juga yang mencecah RM700,000, jadi lebih baik mereka laburkan nilai yang setara untuk kediaman di atas ta­nah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas beliau, reka bentuk pilihan bergantung kepada pembeli kerana mereka akan menghubungi ejen yang mengiklankan berdasarkan kehendak mereka, sama ada dari segi lokasi, reka bentuk, harga atau jenis rumah.

“Ini disebabkan kebanyakan rumah subsale akan ada pengu­bahsuaian oleh pemilik asal dan tiada reka bentuk yang spesifik.

“Bagaimanapun, kami sebagai ejen subsale akan memfokuskan kepada lokasi dan harga yang dijual masih di dalam nilai pasaran.

“Hal ini disebabkan, rumah subsale adalah rumah dibeli daripada pemilik dan bukan pemaju,” katanya.

Jelas Muhammad Izzat, sebagai perunding hartanah beliau akan memastikan harga rumah atau kediaman yang dijual tersebut munasabah.

“Paling utama, harga mesti dalam nilai pasaran yang ditetapkan oleh jurunilai berdaftar supaya mudah pembeli mahu memohon pinjaman daripada bank.

“Selain itu, harga tersebut mestilah dalam kadaran harga permintaan pasaran dalam kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, perunding hartanah IQI Realty Sdn. Bhd., Kamil Ghazali berkata, kediaman di atas harga RM500,000 secara umum mendapat kurang permintaan jika dibandingkan dengan kediaman di bawah harga RM500,000.

“Namun, ia masih mendapat permintaan tinggi bergantung kepada pelbagai faktor seperti jenis kediaman, lokasi, reka bentuk, dan lain-lain.

“Lokasi yang mendapat permintaan kebiasaannya di kawasan bandar yang maju ataupun sedang memba­ngun contohnya di kawasan Put­rajaya, Bangi, Semenyih, Kajang dan kawasan lama seperti Taman Tun Dr IsmaiI (TTDI), Petaling Jaya dan Ampang,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula, hartanah berharga setengah juta itu mula menunjukkan trend khususnya pada tahun lepas namun masih belum mendapat permintaan tinggi.

“Dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2024 lebih baik berbanding dengan tahun 2023, ini akan menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap unit hartanah komersial yang berharga RM500,000 ke atas khususnya di kawasan strategik yang meliputi sekitar bandar utama di negeri-negeri seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor.

“Namun bagi hartanah jenis kediaman, saya berpanda­ngan rumah yang berharga RM500,000 masih belum mempunyai permintaan yang tinggi walaupun ia mula menjadi trend kerana dipengaruhi oleh banyak faktor.

Jelas beliau, kebiasaan­nya, lokasi sesuatu tempat itu strategik maka, secara tidak langsung harga tanah akan menjadi mahal di kawasan tersebut.

“Maka pemaju akan mula menawarkan rumah kediaman dengan harga yang tinggi kerana mereka menjangkakan kawasan tersebut dianggap elit dan sudah tentu ada sahaja individu yang sanggup membelinya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×