Kartel bahan binaan kawal harga punca rumah mahal - Utusan Malaysia

Kartel bahan binaan kawal harga punca rumah mahal

Kerajaan perlu mengenakan syarat kepada pemaju perumahan dengan menetap kuota rumah mampu milik buat golongan B40.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kewujudan kartel yang memonopoli komponen bahan binaan untuk sekian lama didakwa menjadi faktor utama mempengaruhi kenaikan harga rumah sehingga menyukarkannya dijual pada kadar mampu milik.

Pada masa ini dianggarkan lebih sejuta isi rumah di negara ini belum memiliki rumah sendiri hanya kerana tidak mampu membeli kediaman kerana tidak banyak pembinaan perumahan kos mampu milik selain pemaju mementingkan pembangunan rumah berkelas tinggi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, kerajaan perlu mencari satu penyelesaian menyeluruh berdasarkan empat kaedah yang boleh diambil kira untuk mengatasi permasalahan pelaksanaan pembinaan rumah mampu milik sebagai satu bentuk agenda nasional.

Menurutnya, kaedah pertama ialah pembekalan bahan binaan boleh diambil alih syarikat gergasi milik kerajaan untuk membekalkan komponen tersebut kepada pemaju-pemaju perumahan bagi menyekat monopoli pihak tertentu yang mengawal harga di pasaran.

“Sememangnya ada unsur kartel iaitu beberapa syarikat sahaja yang memonopoli bahan binaan. Contoh bahan simen, ada dua atau tiga syarikat sahaja terlibat, kalau mereka ini tarik ‘hand break’, maka harga naiklah.

“Kalau aspek pembekalan bahan binaan ini diambil alih syarikat milik kerajaan, sudah tentu ia bersifat agenda nasional bukan bertujuan komersial, maka harga rumah boleh diturunkan kerana kos bahan binaan adalah faktor utama mempengaruhi harga,” katanya di sini semalam.

Ishak berkata, pembinaan rumah mampu milik juga boleh menggunakan teknologi precast iaitu teknologi pasang siap dengan membuat komponen pembinaan di kilang dan dihantar ke tapak dan boleh dibina secara terus.

Katanya, kaedah sedemikian boleh menjimatkan tempoh masa pembinaan, kos pembangunan lebih murah dan komponen pembinaan boleh dibuat berskala besar untuk dibekalkan kepada pemaju-pemaju.

Selain itu, kata beliau, kos pematuhan turut mempengaruhi harga rumah iaitu kos-kos lain yang dikenakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk menaikkan -kadar tertentu.

Sebagai contoh kata beliau, kos ubah syarat tanah dinaikkan iaitu kos yang dikenakan kerajaan negeri apabila pemaju mahu mengambil alih tanah daripada status pertanian kepada perumahan.

“Kos pematuhan lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Indah Water Konsortium (IWK) menaikkan kadar caruman masing-masing selain banyak agensi lain bersaing untuk mengenakan kadar tinggi.

“Jadi kos pematuhan ini perlu disemak kerajaan, tidak patut sekiranya rumah mampu milik dikenakan kadar tinggi, justeru setiap pihak perlu berkorban, pemaju juga perlu kurangkan margin keuntungan tetapi kerajaan negeri dan agensi berkaitan pula jangan mengambil keuntungan untuk tujuan pembangunan rumah mampu milik,” katanya.

Ishak berkata, kos tanah juga memberi sumbangan besar kepada harga rumah menyebabkan pemaju perlu menyerap kos tanah itu dalam harga rumah dan terpaksa menjual pada harga tinggi kepada pembeli.

Justeru, katanya, bagi pembangunan rumah mampu milik, tanah harus disediakan atau dibekalkan pihak kerajaan yang mengenal pasti tanah-tanah tertentu untuk diberikan kepada pemaju terpilih dengan mengenakan kadar minimum kos tanah itu.

“Apabila harga tanah rendah, maka keseluruhan harga dapat dikurangkan. Sebenarnya kalau kita semak dari segi angka pun, saya yakin rakyat yang belum lagi dapat miliki rumah sekitar sejuta orang. Jadi kita perlu permudahkan dari semua aspek,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta se­mua pihak memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan dan memenuhi sasaran pe­nyediaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara se­panjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Untuk mencapai mat­la­­­mat ini, Kerajaan Per­se­­kutuan akan memberi sub­­sidi, kerajaan negeri me­nyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pem­biayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga berpatutan.

Perdana Menteri turut membangkitkan ke­bimbangan ber­hubung kos bahan binaan se­perti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×