Bina rumah mampu milik sejajar pendapatan - Utusan Malaysia

Bina rumah mampu milik sejajar pendapatan

PEMILIKAN rumah terus menjadi polemik dalam kalangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah atau B40. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMILIKAN rumah terus menjadi polemik dalam kalangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah atau B40. Kenaikan harga hartanah yang tidak sejajar dengan pendapatan, meresahkan mereka.

Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan memastikan harga rumah mampu milik sejajar dengan pendapatan minimum agar rakyat dapat memiliki rumah walaupun bergaji minimum.

Selain masalah gaji, peningkatan kos sara hidup, bebanan hutang sedia ada serta kekurangan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan dilihat turut menyumbang kepada ketidakmampuan rakyat untuk memiliki rumah ketika ini.

Timbalan Pengarah, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berpendapat, selain itu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dibimbangi akan mendorong kenaikan lebih tinggi harga hartanah di dalam negara.

“Mengikut nisbah gaji minimum terkini adalah pada kadar RM1,500, maka dicadangkan anggaran harga rumah mampu milik pada harga RM200,000.

“Sekiranya kerajaan mengawal dengan baik perancangan pembinaan rumah mengikut nisbah pendapatan bagi setiap kawasan, sepatutnya hal ini (rakyat sukar beli rumah) dapat diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan juga perlu meletakkan syarat ketat pemilikan rumah kos rendah hanya terhad kepada sebuah rumah bagi setiap individu, sekali gus akan membantu untuk memastikan tiada manipulasi pemilikan perumahan kos rendah secara banyak oleh golongan bukan B40.

“Ini bagi memastikan pemilikan rumah kos rendah dimiliki oleh golongan yang sepatutnya,” katanya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berpendapat, kerajaan perlu memandang serius isu generasi muda yang bekerja tetapi tidak mampu memiliki rumah dan terpaksa menyewa.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan perlu menyiapkan semua projek rumah mampu milik yang terbengkalai supaya mereka yang sepatutnya telah menduduki rumah tidak lagi terpaksa menyewa.

“Sebagai contoh, hanya sembilan daripada 22 projek PR1MA yang bermasalah dan sakit baharu sahaja disiapkan bagi tahun ini.

“Selain itu, rumah mampu milik perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar B40 dan ingin mendiami rumah tersebut, bukan mereka yang mengambil kesempatan untuk memiliki rumah tersebut tetapi untuk tujuan pelaburan iaitu disewakan,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan perlu bekerjasama dengan bank-bank supaya skim pembiayaan perumahan rumah mampu milik bersifat mesra pelanggan, tidak semata-mata berasaskan keuntungan.

“Pihak bank perlu menawarkan satu produk baharu khusus untuk simpanan bayaran deposit pembelian rumah melalui potongan gaji dalam tempoh masa tertentu.

“Ini secara tidak langsung membolehkan kerajaan menggunakan institusi bank bagi mendisplinkan golongan muda supaya menyimpan melalui potongan gaji bagi tujuan membeli rumah mampu di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Ariff berpendapat, sekarang bukanlah masa terbaik untuk rakyat membeli rumah.

“Generasi muda perlu mengelak membeli rumah ketika ini. Mungkin boleh membuat simpanan sedikit demi sedikit bagi membeli rumah pada masa hadapan, sekarang waktu yang tidak sesuai, lebih baik menyewa.

“Jika menyewa, sekiranya tidak mampu bayar sewa, hanya dihalau namun, jika tidak mampu bayar pinjaman rumah, anda akan dikenakan tindakan undang-undang dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya lagi, generasi muda yang mula bekerja boleh tinggal di rumah keluarga atau menyewa rumah dengan harga lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya