SEKIRANYA rumah berharga RM500,000 menjadi pilihan, minimum bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank adalah sekitar RM2,200.
Jadi, bayangkan komitmen bulanan yang perlu diasingkan hanya untuk ansuran kediaman sekiranya rumah yang dibeli berharga lebih dari setengah juta.
Justeru, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, golongan profesional merupakan antara pembeli rumah yang bernilai setengah juta dan ke atas.
Katanya, sekiranya mengikut kiraan, Nisbah Khidmat Hutang (DSR) pembeli rumah tidak boleh melebihi 70 peratus untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bank.
“Oleh itu, pembeli memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM8,000 sebulan untuk membeli rumah melebihi RM500,000.
“Namun, pendapatan rakyat yang kurang tiga tahun bekerja masih di bawah RM8,000. Oleh yang demikian, majoriti rakyat masih tidak mampu membeli rumah melebihi harga RM500,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, hanya golongan profesional dan bekerja lebih lima tahun yang mampu membeli anggaran rumah bernilai RM500,000 kerana kebanyakan mereka mempunyai pendapatan bulanan yang tinggi, jadi pembelian rumah berharga sedemikian adalah mudah.
“Kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan, pelabur, ekspatriat serta mereka yang menjana pendapatan melalui medium perniagaan dalam talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, ketika ini, rumah bernilai RM300,000 hingga RM400,000 masih menjadi pilihan pembeli.
“Ini kerana pendapatan isi rumah pembeli yang di bawah RM10,000 atau mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Jadi, rumah berharga demikian adalah lebih berpatutan kerana mereka perlu menyalurkan pendapatan kepada perkara-perkara lain juga.
“Di Lembah Klang, rumah bertanah di lokasi pinggir bandar seperti Sungai Buloh, Rawang dan Semenyih juga sudah berharga RM500,000 ke atas. Jadi kita dapat lihat trend rumah setengah juta ini sudah semakin meningkat,” katanya.
Jelas beliau, bagaimanapun, agak sukar pembeli yang baru memulakan pekerjaan dengan gaji sekitar RM3,000 untuk membeli hartanah berharga RM500,000 dan ke atas.
“Kadar ansuran bulanan sudah mencecah RM2,200 ke RM2,500 sebulan bagi rumah sahaja. Maka, ia akan membebankan pembeli yang bergaji kurang daripada RM8,000 memandangkan kos sara hidup kini juga kian meningkat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pihak pemaju perumahan agar mempelbagaikan harga rumah dari RM300,000 ke atas supaya semua lapisan masyarakat mampu memiliki rumah.
“Saya melihat rumah jenis apartmen masih boleh dimiliki dengan harga RM300,000 manakala rumah bertanah boleh dipelbagaikan saiz tanah dan binaan untuk mengurangkan kos.
“Sekiranya tiada inisiatif daripada pemaju, rakyat hanya mampu menyewa sahaja,” katanya. – UTUSAN










