SEREMBAN: Seramai empat penunggang motosikal ditahan selepas mereka didapati melakukan aksi berbahaya menerusi Op Samseng Jalanan di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua individu tersebut ditahan pada operasi yang bermula pukul 11.30 malam sehingga awal pagi tadi di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Jalan Persiaran Senawang 1 di sini.
“Kesemua individu berusia awal 20-an itu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana bukan hanya telah melakukan aksi mendatangkan bahaya kepada diri sendiri bahkan juga keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Dalam operasi itu, empat buah motosikal juga telah disita untuk tindakan selanjutnya Selain itu, sebanyak 86 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan kami turut menyita tiga buah motosikal di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan akan sentiasa memantau segala aktiviti lumba haram di daerah-daerah di negeri ini bagi yang selalu berlaku pada hujung minggu.
“Orang ramai terutamanya remaja dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti lumba haram yang merugikan,” katanya.-UTUSAN.










