Peruntukan besar mesti bawa perubahan pada pendidikan

Peruntukan besar mesti bawa perubahan pada pendidikan

BELANJAWAN 2027 bukan soal peruntukan semata-mata, tetapi sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai oleh guru, murid, ibu bapa dan warga sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027, khususnya inisiatif yang memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan, kebajikan guru, kemudahan sekolah dan kesejahteraan murid.

KGMMB berpandangan bahawa peningkatan peruntukan pendidikan merupakan langkah positif. Namun, kejayaan sesebuah belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah wang yang diperuntukkan semata-mata, tetapi sejauh mana manfaatnya benar-benar dirasai oleh guru, murid, ibu bapa dan warga sekolah.

Sehubungan itu, KGMMB mengemukakan lima pandangan utama:

Memuatkan artikel berkaitan…

Peruntukan pendidikan hampir RM69 bilion
KGMMB berharap peningkatan peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diterjemahkan kepada penambahbaikan prasarana sekolah, penguasaan literasi dan numerasi, kemudahan pembelajaran serta pengurangan beban tugas guru.

Setiap perbelanjaan perlu memberikan impak yang jelas terhadap kualiti pendidikan negara.

Pelantikan pembantu guru di 200 sekolah
KGMMB menyokong usaha menyediakan pembantu guru bagi membantu mengurangkan beban tugas bukan pengajaran. Pelaksanaan ini perlu mempunyai skop tugas yang jelas, penempatan berdasarkan keperluan sebenar sekolah dan penilaian keberkesanan secara berkala.

Matlamatnya ialah membolehkan guru memberikan lebih banyak masa dan perhatian kepada pengajaran serta pembelajaran murid.

Peruntukan RM2 bilion untuk penyelenggaraan sekolah
KGMMB menyambut baik peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah. Keutamaan hendaklah diberikan kepada keselamatan bangunan, tandas, pendawaian elektrik, bilik darjah dan kemudahan asas yang rosak.

Agihan perlu berasaskan tahap keperluan, termasuk sekolah luar bandar dan pedalaman, supaya setiap murid dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Peningkatan insentif guru Pendidikan Khas kepada RM300 sebulan
KGMMB menghargai pengiktirafan terhadap komitmen guru pendidikan khas. Namun, sokongan tidak boleh terhad kepada insentif kewangan sahaja.

Latihan profesional, kemudahan pembelajaran, bahan bantu mengajar dan tenaga sokongan yang mencukupi juga perlu diperkukuh demi kepentingan murid berkeperluan pendidikan khas.

Potongan cukai bagi sumbangan kepada sekolah
KGMMB melihat langkah ini sebagai peluang untuk memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa, alumni dan masyarakat. Walau bagaimanapun, sumbangan mestilah sukarela dan diurus secara telus.

Kerajaan juga perlu memastikan sekolah yang kurang berkemampuan tidak tercicir hanya kerana mempunyai akses yang terhad kepada sumber sumbangan. Tanggungjawab asas menyediakan pendidikan berkualiti kekal sebagai tanggungjawab kerajaan.

Pendirian KGMMB
KGMMB menegaskan bahawa kejayaan dasar pendidikan bergantung pada pelaksanaan yang berkesan. Setiap inisiatif perlu disusuli dengan perancangan yang jelas, pemantauan berterusan dan penilaian berdasarkan hasil sebenar.

Kami turut berharap KPM terus memperkukuh libat urus dengan kesatuan guru kerana pengalaman warga pendidik di lapangan amat penting dalam memastikan dasar yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan sekolah.

Guru bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi merupakan tunjang utama kejayaan pendidikan negara. Kebajikan guru perlu dipelihara, keselamatan murid mesti diutamakan dan kemudahan sekolah hendaklah diberikan perhatian sewajarnya.

KGMMB akan terus menyokong dasar yang membawa manfaat kepada pendidikan, di samping menyuarakan pandangan dan cadangan penambahbaikan demi kepentingan warga pendidik serta generasi masa hadapan.

Bagi KGMMB, ukuran sebenar kejayaan Belanjawan 2027 bukan sekadar berapa banyak yang diumumkan, tetapi berapa banyak perubahan positif yang benar-benar dirasai oleh guru, murid dan sekolah. – UTUSAN

DR. MOHD. SOBRI YUSUF
Presiden Kesatuan Guru-Guru
Melayu Malaysia Barat (KGMMB)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini