PETALING JAYA: Siti Dhia Batrisyia Mohd. Chairil Anuar, 12, yang ditemui semula selepas hilang lima hari lalu hanya merayau-rayau di sekitar Sri Rampai, Setapak sebelum ditemui orang awam awal pagi semalam.
Ibunya, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu atau lebih mesra dipanggil Dhia tidak mengikuti mana-mana lelaki sebaliknya hanya berada di sekitar Sri Rampai.
“Ketika ditemukan, dia menangis teresak-esak. Apabila saya tanya, dia cakap takut nak balik rumah kerana nanti dimarahi (ayah dan ibu) sebab dia ponteng sekolah Selasa lalu.
“Dhia beritahu dia datang ke Sri Rampai menaiki tren transit aliran ringan (LRT), hanya berlegar-legar di situ selain berpuasa dan sahur di sana. Malah, dia tidak tahu berita kehilangannya tular satu negara kerana tidak membawa telefon bimbit ketika keluar rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Syarifah Rosfazila, Dhia kini selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital selain diambil keterangan oleh polis bagi siasatan lanjut.
“Setakat ini semuanya baik. Jadi, dakwaan dia (Dhia) ada ikut lelaki itu tidak benar. Dia cuma takut kerana kami marah selepas ponteng sekolah.
“Apa yang berlalu, biarlah berlalu. Saya mengingatkan Dhia selepas ini, janganlah buat perkara ini lagi,” katanya.
Dalam pada itu, dia sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan pihak berkuasa yang banyak membantu menghebahkan serta menyalurkan maklumat sepanjang kehilangan Dhia.
“Sehinggakan ada yang pergi mengerjakan umrah dan berdoa untuk Dhia, bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi Indonesia juga,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan penemuan kanak-kanak tersebut pada 1 pagi, semalam.
Mengulas lanjut, jelasnya, seramai lapan saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang.
Tambahnya, kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan tindakan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan. – UTUSAN










