Dugaan Ramadan dua beradik warga emas

Dugaan Ramadan dua beradik warga emas

MAT Saad Mohamad (kanan) termenung di tangga batu sambil melihat adiknya, Mat Isa meninjau sisa kebakaran selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis kelmarin. – MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mat Isa Mohamad, 80, hanya mampu termenung di atas tangga batu sambil melihat adiknya yang berusia 75 tahun meninjau sisa-sisa kebakaran selepas kediaman masing-masing yang bersebelahan musnah dalam kebakaran di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini, kelmarin.

Bagaimanapun dua beradik berkenaan bersama keluarga masing-masing reda dengan dugaan hari keempat Ramadan itu meskipun kini mereka tinggal sehelai sepinggang di sebalik Aidilfitri pula bakal menjelma tidak lama lagi.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu telah memusnahkan tiga buah kediaman di situ.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mat Isa berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat asar di Masjid Saidina Abu Bakar, sebelum dimaklumkan penduduk berhubung kebakaran rumah di kampung berkenaan.

“Saya pada mulanya tidak menyangka rumah yang dimaksudkan penduduk itu adalah kediaman sendiri dan hanya mengetahui selepas balik dan melihat api sudah marak selain barang semua hangus dijilat api,” katanya.

Tambah Mat Isa, dia bersama lima ahli keluarga lain terdiri daripada seorang anak dan tiga cucu kini hanya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka itu hangus.

Ujarnya, segala persiapan raya yang dibuat sejak awal turut musnah termasuk dokumen-dokumen penting yang disimpan dalam rumah.

Sementara itu, adik Mat Isa, Mat Saad yang menetap di rumah bersebelahan turut berdepan nasib sama apabila kediaman yang dihuni keluarganya itu turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Lebih menyedihkan, kata beliau, cucunya berusia lima tahun turut melecur di kaki dan kini dirawat di hospital.

“Sewaktu kejadian, cucu saya tidur berseorangan dalam bilik dan api juga sangat marak pada ketika itu.

“Nasib baiklah bapa saudara kepada cucu saya itu bertindak berani dengan masuk ke dalam rumah sewaktu kebakaran bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut sehinggakan dia juga turut mengalami kecederaan melecur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×