PUTRAJAYA: Pembinaan kabin 12 buah bilik darjah tambahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai langkah penyelesaian jangka pendek berhubung isu kepadatan murid di sekolah berkenaan.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, murid Tahun 1 disuraikan ke beberapa buah sekolah berdekatan sementara inisiatif jangka pendek dan jangka panjang lain dirancang dan sedang dalam peringkat pelaksanaan bagi mengatasi isu ini.
Bagi penyelesaian jangka panjang, kata KPM, SK Cyberjaya (2) yang dibida dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) RP3 (tahun 2023) telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.
“Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaan yang dijangka siap siap pembinaan pada tahun 2028,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPM memaklumkan, pembinaan sekolah menengah baharu SMK Cyberjaya (2) dalam perancangan yang akan dimohon dalam RMKe-13 RP1 Tahun 2026 pada tahun ini.
Selain itu, katanya, perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) akan dimohon dalam RMKe-13 RP2 Tahun 2027 pada tahun 2025. – UTUSAN











