PETALING JAYA: Pengguna Melayu merekodkan perbelanjaan kira-kira RM28 bilion setiap bulan pada 2022 sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada sektor perniagaan seterusnya menjana ekonomi negara yang dikuasai peniaga bukan Melayu.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sehubungan itu, bukan Melayu dilihat bergantung kepada orang Melayu yang merangkumi kira-kira 60 peratus jumlah penduduk negara seterusnya menjadi kuasa beli terbesar.
“Peniaga boleh mengalami kesukaran sekiranya pengguna tidak berbelanja kerana kuasa ekonomi ditentukan oleh pengguna yang mempunyai wang untuk dibelanjakan.
“Tetapi sebenarnya orang Melayu tidak begitu prihatin tentang kuasa mereka sebagai pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai sejauh mana kuasa beli kumpulan Melayu di negara ini susulan satu perniagaan makanan dan minuman (F&B) berjenama antarabangsa milik antara seorang taikun terkaya di Malaysia dilaporkan rugi bersih berjumlah lebih RM40 juta pada suku kedua tahun lepas.
Kerugian direkodkan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan boikot rakyat Malaysia terhadap jenama syarikat tersebut berikutan konflik di Asia Barat.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, golongan Melayu berbelanja tanpa dipengaruhi sentimen perkauman berbanding kaum-kaum tertentu.
“Sebagai contoh, orang Cina tidak akan masuk kedai Melayu untuk beli barang melainkan kedai makan itu terkenal, tetapi kalau beli barang mereka cari di kedai Cina juga.
“Namun, orang Melayu tidak kisah, dia masuk sahaja asalkan berdekatan dan selesa,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, orang Melayu mempunyai kuasa beli paling besar sekali kerana mempunyai jumlah penduduk paling ramai di negara ini.
Malah, katanya, semua lapisan generasi tanpa mengira umur dalam kumpulan Melayu turut dilihat gemar berbelanja.
“Jika kita pergi ke pasar raya besar pun, kita boleh lihat lebih 90 peratus pengguna Melayu sedang berbelanja, sedangkan mana ada orang Melayu berniaga melainkan jenama asing atau kaum lain,” katanya.
Oleh itu, katanya, masyarakat Melayu perlu sedar bahawa kuasa beli mereka pada tahap yang tinggi dan menyokong memajukan ekonomi bumiputera.
“Melayu kena sedar bahawa kuasa membeli menentukan perniagaan maju dan mundur. Jadi, jika mahu tolong peniaga dan usahawan Melayu, maka kena beli dengan mereka.
“Memang pilihan masing-masing, tetapi itu tidak membantu ekonomi Melayu. Misalnya nak berbelanja, makan atau beli pakaian, cari orang Melayu, baru ada impak,” katanya. – UTUSAN











