Persepsi akar umbi UMNO makin baik, TPM yakin Kerajaan Perpaduan kekal utuh 

Persepsi akar umbi UMNO makin baik, TPM yakin Kerajaan Perpaduan kekal utuh 

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya persepsi akar umbi UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan hari ini semakin bertambah baik.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering ‘dilempar’ dan ‘dibaling’ dengan beberapa isu, namun, Kerajaan Perpaduan tetap utuh bertahan dengan sokongan yang diterima daripada lebih dua pertiga majoriti di Parlimen ketika ini.

Ujar Ahmad Zahid, program demi program yang digariskan oleh Anwar pada masa ini juga diyakini mampu meningkatkan kembali sokongan rakyat terhadap kepimpinan Presiden PKR itu selepas ini.

“Kombinasi ini (parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan) insya-Allah akan kita kuatkan. Sebagai contoh, kita lihat bulan lalu apabila kita mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di negeri Perak. Sambutannya luar biasa sekali dan selepas hari raya nanti, kita akan teruskan konvensyen seperti ini di negeri yang lain pula.

“Dalam hal ini, saya telah mencadangkan kepada Pengerusi BN (Barisan Nasional) Pulau Pinang (Datuk Musa Sheikh Fadzir) untuk mengadakan konvensyen tersebut di sini dalam bulan Syawal nanti,” katanya ketika menghadiri program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini, petang tadi.

Mengulas mengenai program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO itu pula, kata Ahmad Zahid, ia telah dimulakan sejak Oktober tahun lepas.

“Sambutan (yang diterima) daripada akar umbi memang luar biasa dan mereka ‘dahagakan’ maklumat-maklumat semasa. (Dalam hal ini) saya memberikan penjelasan biarpun tidak terperinci. Saya juga menggariskan beberapa isu yang menjadi persoalan kepada mereka ketika ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid memberitahu, mesyuarat pertama untuk mewujudkan Sekretariat Tetap Majlis Ekonomi Bumiputera dijangka diadakan Isnin ini.

“Pastinya, apa yg diharapkan kepada saya ialah untuk mewujudkan sekretariat tetap bagi pendidikan untuk pelaksanaan kepada semua 82 resolusi itu yang akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu pada hari Isnin ini.

“Saya akan mengadakan mesyuarat pertama dan saya akan berbincang dengan pengerusi-pengerusi kluster (yang berkenaan) untuk kita secara rasmi mewujudkan sekretariat yang telah diletakkan punca kuasanya di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Dalam hal ini, saya akan lakukan tindakan susulan kerana saya juga dilantik oleh beliau (Perdana Menteri) untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemandu kepada Majlis Ekonomi Bumiputera ini,” jelas beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×