LTAT cadang lupus sebahagian kepentingan dalam Affin Bank 

LTAT cadang lupus kepentingan dalam Affin Bank 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bercadang melupuskan sebahagian kepentingannya dalam Affin Bank Bhd., namun berhasrat untuk terus memegang pegangan ‘signifikan’ dalam bank tersebut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan penjualan sebahagian kepentingan LTAT dalam Affin Bank adalah untuk mengimbangi semula portfolio pelaburan berdasarkan sasaran yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Peruntukan Aset Strategik (SAA).

Katanya, cadangan tersebut adalah tindakan munasabah dan keputusan pelaburan yang memberikan pulangan positif dalam bentuk dividen yang kompetitif dan mampan kepada pencarum.

“Cadangan pelupusan sebahagian daripada kepentingan disasarkan kepada pihak berkepentingan yang mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh dan akan memberikan nilai tambah yang lebih tinggi kepada bank.

“Ini dalam bentuk pertumbuhan perniagaan dan peningkatan keuntungan untuk tempoh jangka panjang,” kata kementerian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Menurutnya, LTAT kini memegang kepentingan efektif sebanyak 48.7 peratus dalam Affin Bank.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin mengetahui rasional rancangan LTAT untuk menjual kepentingannya dalam Affin Bank, yang merupakan entiti pelaburan di bawah LTAT yang berjaya mencatat keuntungan setiap tahun.

Beliau berkata, LTAT akan kekal sebagai pemegang saham penting dalam Affin Bank jika penjualan itu dimuktamadkan.

“Sebagai dana persaraan, LTAT harus mengutamakan kepelbagaian aset dan menguruskan pelaburan dengan mengutamakan kestabilan dana dan pulangan berterusan.

“Sebarang cadangan pemindahan pegangan saham tertakluk kepada kelulusan badan kawal selia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah pematuhan kepada tadbir urus korporatnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Sarawak merancang untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin Bank melalui cabang pelaburannya, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak kepada kira-kira 30 peratus, peningkatan daripada 4.8 peratus ketika ini. 

Langkah ini akan mengatasi LTAT, menjadikan kerajaan negeri pemegang saham terbesar dalam kumpulan perbankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×