Zakat fitrah di N. Sembilan ditetapkan RM7, RM12.50, RM22 - Utusan Malaysia

Zakat fitrah di N. Sembilan ditetapkan RM7, RM12.50, RM22

KADAR zakat fitrah di Negeri Sembilan diumumkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan bagi tahun ini ditetapkan pada tiga kadar harga iaitu RM7, RM12.50 dan RM22 bagi setiap seorang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Abdul Aziz Sheikh Kadir berkata, penetapan tiga kadar harga ini adalah berdasarkan kepada kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan.

Jelas beliau, ia menurut pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.

“RM7 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya dari jenis Super Special Tempatan (SST) Lima peratus.

“Kadar harga RM12.50 pula bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya daripada jenis beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala RM22 bagi umat Islam yang menjadikan beras makanan hariannya dari jenis beras Super Basmathi,” katanya pada sidang akhbar di Menara MAINS di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, ketetapan Pewartaan Kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1445H/2024M itu bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan perkenan Datuk Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

“Kami menjangkakan sekarang kebanyakan pembayar zakat fitrah berada dalam kadar RM12.50 itu. Kami menjangkakan juga kutipan zakat fitrah pada tahun ini juga meningkat dan kami menyasarkan sebanyak RM7 juta berbanding sekitar RM6 juta pada tahun lalu,” katanya lagi.

Tahun lalu, kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan turut ditetapkan pada tiga kadar harga berbeza iaitu RM7, RM10 dan RM21.

Sementara itu, beliau memaklumkan, MAINS pada sepanjang bulan Ramadan ini akan membelanjakan sehingga lebih RM17 juta wang zakat bagi tujuan pelbagai jenis bantuan.

Menurutnya, ia termasuklah bantuan bulanan fakir dan miskin, bantuan barangan keperluan asas bulanan asnaf, bantuan Ramadan dan raya bagi asnaf, fakir dan miskin, bantuan mualaf serta bantuan tahunan dan insentif Ramadan kepada masjid dan surau di negeri ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×