HATYAI, THAILAND: Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Kuala Perlis ke Satun, Thailand masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan buat masa ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, cadangan pembinaan jambatan itu difahamkan membabitkan laluan sejauh 15 kilometer (km) merangkumi dua kilometer di bahagian Kuala Perlis dan bakinya adalah di bahagian Satun.
Bagaimanapun beliau berpandangan, cadangan itu dikhuatiri hanya akan memberi keuntungan kepada Thailand yang bakal menikmati kehadiran pelancong menerusi pembinaan jambatan berkenaan.
Beliau berkata, kebimbangan sama turut disuarakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebelum ini yang khuatir pelaksanaan itu bakal membuatkan pelancong sekadar singgah sementara di Kuala Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke Satun.
“Saya berpendirian, pembinaan jambatan itu tidak akan memberi faedah kepada negeri Perlis disebabkan pelancong tidak akan singgah pun di Kuala Perlis,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di Hotel Yannaty, di sini, hari ini.
Pada 2015, terdapat cadangan pentadbiran oleh Wilayah Satun bagi membina jambatan yang bakal menghubungkan wilayah itu dengan Perlis.
Jambatan itu dicadangkan dibina dari Tammalang ke Puyu di Satun menuju ke Bukit Putih di Kuala Perlis.
Tambah Mohd. Shukri, pada peringkat awal ini, pihaknya lebih fokus mempromosikan Perlis ini dengan lebih giat lagi.
“Dan kita tengok kehadiran pelancong daripada Selatan Thailand ini khususnya Satun meningkat dengan begitu baik baharulah kita tidak ada masalah untuk membina jambatan itu,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, kerajaan negeri akan menggiatkan promosi untuk membawa pelancong terutama dari Selatan Thailand ke Perlis dan tidak akan bergantung kepada cadangan pembinaan jambatan berkenaan semata-mata.
“Kita akan promosi tempat-tempat menarik di Perlis kerana terdapat banyak lokasi yang tidak kurang hebatnya dan mempunyai kelainan dengan kawasan pelancongan di Selatan Thailand,” katanya.-UTUSAN










