Calon Pas atau Bersatu? Itu bukan isu besar – Faizal Azumu

Calon Pas atau Bersatu? Itu bukan isu besar – Faizal Azumu

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan secara rasmi dibuat dengan pimpinan ter­tinggi Pas berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) yang mungkin diadakan di enam negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagaimanapun perkara itu dalam perancangan termasuklah isu kerusi yang mungkin diletakkan calon Pas berikutan keenam-enam kerusi berkenaan adalah milik Bersatu.

“Saya berpendirian bahawa Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bertanding dulu di PRK Kemaman, beliau adalah calon PN, jadi saya tidak anggap datang dari Pas, saya tidak ada masalah kalau PN dah buat keputusan dan pakai kain ren­tang sebagai kebersamaan, bukan datang daripada kumpulan mana-mana sama ada Pas atau Bersatu, kita sentiasa bersama.

“Tidak seperti kerajaan hari ini, yang kita nampak tidur sebantal mimpi lain-lain, belum-belum BN sudah keluar kenya­taan nak bertanding dan tidak bincang dengan kawan-kawan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam berhubung kenya­taan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia meletakkan calon di enam kerusi tersebut.

Jelas Ahmad Faizal lagi, ke­nyataan Ahmad Zahid itu me­nunjukkan ketidakyakinan terhadap parti lain meskipun dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Kenyataan Presiden UMNO itu melambangkan tiada calon dari parti lain yang lebih layak untuk bertanding, termasuklah calon dari Amanah, DAP, PKR di kerusi-kerusi berkenaan.

“Sebab itu UMNO nak bertanding. Dan Ahmad Zahid begitu yakin yang parti lain akan ikut telunjuk dia bahawa dia tidak ada calon yang layak selain calon UMNO. Tahniah atas keyakinan itu.

“Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN), kami akan bermesyuarat, pandangan Nik Amar itu menunjukkan sema­ngat kepartian dan kita akan bawa pandangan itu ke dalam mesyuarat, sebab pada kami tiada kerusi Pas, tiada kerusi Bersatu. Kerusi kita adalah kerusi PN,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata, enam kerusi tersebut sebelum ini disandang Ahli Parlimen BN, sekali gus menjelaskan parti itu bersedia untuk merebut kembali kerusi ber­kenaan jika pengosongan enam kerusi berkenaan berlaku.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut mengakui parti itu akan menghadapi kesukaran dari segi kewangan jika PRK diadakan.

“Memang susah nak bergerak sebab akaun kita sudah dibekukan. Macam mana kita nak gerakkan jentera? Tetapi kita dibantu dari sumbangan orang ramai,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×