TUMPAT: Pengunjung Pantai Geting di sini dikejutkan dengan kemunculan ubur-ubur spesies Physalia Physalis atau Portuguese Man of War Jellyfish yang juga dikenali dengan ubur-ubur api.
Ubur-ubur tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung jika disengat kerana ia sangat menyakitkan dan racunnya juga boleh mendatangkan risiko kematian.
Namun tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati orang ramai melakukan aktiviti mandi laut dan bermain di pesisir pantai seperti biasa walaupun papan tanda amaran dan bendera merah sudah dinaikkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengunjung, Halim Ismail, 50, berkata, dia sama sekali tidak mengetahui kehadiran ubur-ubur tersebut.
“Setahu saya, hidupan laut ini ditemukan terdampar di kawasan Pantai Bachok sahaja,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Fasihah Ashar, 19, memberitahu, dia bernasib baik tidak disengat oleh ubur-ubur semasa bermain air di kawasan pantai berkenaan.
Katanya, dia hanya tahu perkara itu selepas dimaklumkan oleh pasukan penyelamat pantai yang membuat rondaan.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Tumpat, Leftenan (PA) Fuad Ismail berkata, kehadiran hidupan laut tersebut dikesan sejak petang kelmarin hasil pemantauan yang dijalankan
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lebih 100 ekor ubur-ubur yang sudah mati ditemui terdampar.
“Saya nasihatkan kepada semua pengunjung supaya sentiasa wasapada dan seboleh-bolehnya elak bermain di kawasan gigi air,” ujarnya.
Sebelum ini ubur-ubur itu muncul di perairan pantai di pantai Senok, Kemayan, Damat, Pantai Irama dan beberapa pantai lain di Bachok.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Kelantan mengesahkan kehadiran ubur-ubur berbahaya spesies physalia physalis di perairan negeri itu.
Perkara berkenaan dimaklumkan DOF Kelantan melalui satu kenyataan di laman Facebooknya. – UTUSAN











