Sekretariat tetap pantau resolusi KEB 2024 - Ahmad Zahid

Sekretariat tetap pantau resolusi KEB 2024 – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi menyaksikan penyerahan replika cek pada Program Kerjasama Skim Pembiayaan Kontrak Pembekalan dan Perkhidmatan (SKOPP) Giatmara di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sekretariat tetap diwujudkan segera bagi memantau pelaksanaan resolusi yang dibentangkan pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekretariat tersebut akan diletakkan dibawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), beliau juga dipertanggungjawabkan mengawal dan menggerakkan inisiatif yang diluluskan oleh MEB.

“Jadi jawatankuasa yang ketiga di bawah MEB ialah jawatankuasa kerja yang dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua jawatankuasa akan bekerjasama rapat untuk memantau hasil perbincangan kongres, serta semua dokumen perbincangan yang diserahkan kepada Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata, puluhan kluster dalam kongres kali ini mencadangkan aspek berkaitan kepentingan masyarakat bumiputera tanpa mengabaikan etnik lain di negara kita.

“Ini termasuk aspek pembasmian kemiskinan dan pembangunan ekonomi yang lebih saksama.

“Penekanan juga diberikan kepada penggunaan teknologi baharu, dengan tumpuan kepada pelaksanaan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai elemen utama untuk merealisasikan kerja teknokrat dan teknikal,” katanya.

Difahamkan, lebih 80 resolusi dikemukakan pada KEB 2024 yang diterima daripada 10 kluster pada hari terakhir kongres hari ini.

Mengenai geran peluncuran RM100 juta untuk penubuhan Tabung Wakaf Mara Madani yang diumumkan Anwar pada majlis penutupan KEB 2024, beliau berkata, Mara sebagai agensi pelaksana diberi tempoh dua tahun untuk mengumpul dana sebanyak RM1 bilion. 

Kongres yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 3,000 peserta termasuk wakil dari Dewan Perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×