PUTRAJAYA: Kerajaan negeri Sarawak merancang untuk meningkatkan jumlah penghasilan pelbagai tenaga untuk kesejahteraan penduduk di sana.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, usaha tersebut meliputi tenaga hidroelektrik, solar dan hidrogen.
“Kerajaan negeri ingin meningkatkan keluaran tenaga hidro kepada 8,800 megawatt dan boleh mencapai maksimal sebanyak 10,000 megawatt pada tahun 2030.
“Tenaga kedua adalah solar, Sarawak mempunyai banyak (kawasan yang terkena cahaya) matahari jadi kita boleh pergi ke industri tersebut.
“Tenaga ketiga adalah hidrogen iaitu tenaga baharu untuk dunia masa depan. Untuk makluman, setiap negara boleh menghasilkan tenaga tersebut asalkan ada air dan tenaga untuk memecahkan air itu melalui elektrolisis dan menghasilkan hidrogen serta oksigen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam diskusi Madani 3: Mencipta Peluang Bumiputera dalam Peralihan Tenaga di Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu berkata, Sarawak mempunyai banyak sumber hijau yang membolehkan negeri tersebut menghasilkan tenaga hidrogen hijau.
“Penghasilan hidrogen kita adalah hidrogen hijau yang mempunyai harga yang sangat tinggi,” katanya.
Tambahnya, Sarawak turut akan memberi fokus kepada tenaga bio yang yang mana bagi memanfaatkan pelbagai sumber yang ada untuk tenaga tersebut.
“Kita ada sekurang-kurangnya tiga jenis iaitu antaranya adalah waste-to-energy (WtE) iaitu daripada sisa sampah kepada tenaga,” jelasnya. – UTUSAN










