PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah mahu apa sahaja pendekatan yang diambil bagi memperkasa ekonomi bumiputera Sabah dapat dikawal oleh seliaan entiti kerajaan negeri itu sendiri.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu penting bagi memberikan mandat kepada Sabah untuk menyelaras dan menerajui program pembangunan sosioekonomi secara efisien, efektif dan bersinergi.
Katanya, beliau turut menaruh harapan yang tinggi bahawa kepimpinan negara di bawah Kerajaan Perpaduan ini, benar-benar komited untuk terus membela nasib kaum bumiputera seluruh negara, termasuk di Sabah.
“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan bilangan bumiputera mencecah sehingga 90 peratus daripada jumlah penduduknya, kami di Sabah mempunyai aspirasi tinggi untuk bersama-sama seluruh rakyat Malaysia menikmati kemakmuran dan kemajuan ekonomi negara.
“Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi bumiputera di Sabah tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk komuniti bumiputera.
“Dengan kata lain, pemerkasaan ekonomi khususnya bagi bumiputera di Sabah, mestilah selari dengan pembangunan jaringan infrastruktur sebagai pembolehdaya utama,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekononi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri beriltizam menutup rapat jurang kemiskinan yang telah lama menyelubungi ramai bumiputera di Sabah dan bertekad membawa perubahan kepada kehidupan rakyat khususnya yang berada nun jauh di pedalaman.
Hajiji berkata, Sabah tidak mahu lagi ketinggalan bahkan sentiasa berharap agar kek kemakmuran dapat dikongsi bersama dalam satu keluarga besar Malaysia selain tidak menjadikan Laut China Selatan sebagai pemisah kepada kemajuan dan kesejahteraan bersama.
“Seperti yang kita sedia maklum, faktor geografi merupakan salah satu halangan yang berupaya melambatkan proses pembangunan dan hal ini berlaku di Sabah.
“Ia bukan saja menghambat pertumbuhan ekonomi dan melewatkan proses pembangunan, tetapi juga membatasi aktiviti perekonomian serta sosial masyarakat bumiputera, terutama di pedalaman,” katanya
Pada masa sama, katanya, enam tekad dan tiga ikhtiar digariskan menerusi Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) juga seiring dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dasar Hala Tuju SMJ yang bertekad memperkasakan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, senada dengan tiga ikhtiar TEB yang disyorkan bagi melonjakkan ekonomi bumiputera, iaitu mewujudkan perbadanan tanah bumiputera, mewujudkan wakaf pendidikan, kesihatan dan kebajikan, dan mengindustrikan pertanian,” katanya. – UTUSAN










