BESUT: Hasrat seorang suami menjemput isterinya pulang ke rumah ketika waktu rehat tengah hari tidak kesampaian apabila wanita itu ditemukan maut bersama pemilik kolam ikan tempat dia bekerja di Kampung Air Tawar di Kuala Besut, di sini, hari ini.
Wan Muhammad Naim Wan Hussin, 28, berkata, dia terkejut menemukan isterinya, Rubayyi Razak, 27, terbaring tidak sedarkan diri bersama pemilik kolam, Wan Adilah Wan Awang, 49, sebelum bergegas meminta bantuan daripada pekerja kolam berdekatan.
Katanya, isterinya adalah seorang pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka yang menjalankan latihan industri di kolam tersebut sejak 10 Ogos lalu dan dijangka tamat pada awal Oktober ini.
“Sebelum ini Allahyarham pergi sendiri ke tempat praktikal tetapi minggu ini saya yang hantar dan ambil isteri kerana keretanya belum diservis. Sepatutnya saya mengambilnya pulang berehat pukul 1 petang dan menghantarnya kembali pada pukul 3 petang.
“Ketika tiba kira-kira pukul 1 petang tadi, kelibatnya tiada menunggu seperti biasa. Susulan itu saya mengambil inisiatif mencarinya di sekeliling kawasan kolam ikan sebelum menemukan isteri dan majikannya terbaring berdekatan sebuah paip berhampiran kolam ikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Besut, di sini.
Menurut Wan Muhammad Naim, terkejut dengan situasi itu, dia cuba mencari bantuan namun tidak berani menghampiri isterinya kerana dikhuatiri masih terdapat arus elektrik.
Katanya, kehilangan isterinya memberi kesan yang mendalam buat dirinya dan dua cahaya mata iaitu Wan Muhammad Raees, 2, dan Wan Muhammad Nur Haqeem berusia empat bulan.
“Anak-anak sebelum ini berada di bawah jagaan ibu mentua saya ketika isteri berada di universiti tetapi apabila dia menjalani praktikal di sini, kami bawa mereka tinggal bersama di Kampung Lahar di sini.
“Semasa saya bekerja dan isteri keluar praktikal, anak berada di bawah jagaan sementara ibu saya,” katanya.
Wan Muhammad Naim berkata, jenazah isterinya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kamis, Kelantan selepas urusan bedah siasat selesai dijalankan.
Terdahulu, dua wanita maut dilaporkan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di kolam ikan di Kampung Air Tawar.
Mangsa adalah Wan Adilah Wan Awang, 49, dan Rubayyi yang masing-masing dikatakan pemilik kolam terbabit serta pelajar praktikal di situ.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, dua wanita itu maut selepas tidak sedarkan dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di kolam ternakan ikan tersebut, kira-kira pukul 1.40 petang. – UTUSAN










