PUTRAJAYA: Mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera adalah antara tiga ikhtiar yang dicadangkan menerusi Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan perbadanan ini penting bagi mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.
Beliau berkata, perbadanan ini bertanggungjawab merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.
“Adalah disyorkan semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dimohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan.
“Penubuhan perbadanan ini adalah langkah proaktif bagi menjamin keseimbangan demografi kaum;
mewujudkan kelangsungan kawasan usaha bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu dan usaha tambahan mengekalkan pemilikan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Katanya, penubuhan perbadanan ini diharap dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.
Dua ikhtiar lain yang digariskan menerusi TEB termasuk inisiatif wakaf kesihatan dan pendidikan serta
mengindustrikan pertanian.
Bagi ikhtiar kedua, Ahmad Zahid berkata, beliau mencadangkan supaya diwujudkan Pelan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (SIDIK) bagi menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada bumiputera.
Katanya, ikhtiar ini juga penting bagi mendepani isu-isu kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada golongan seperti asnaf, warga emas dan kumpulan sasar yang terjejas.
“SIDIK akan menyediakan fasiliti, peralatan dan perkhidmatan kesihatan seperti pusat dan mesin Hemodialisis, khidmat penjagaan kesihatan warga emas dan sebagainya.
“Malah, ia juga akan menyediakan pembiayaan rawatan penyakit kronik; pemerkasaan institusi pendidikan dan pusat latihan bumiputera; pendanaan biasiswa untuk anak bumiputera dan memperkasa program perkembangan kemahiran bagi meningkatkan keboleh pasaran tenaga kerja bumiputera,” katanya.
Katanya, demi kesejahteraan bumiputera, beliau menganjurkan sistem caruman daripada syarikat-syarikat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan pelaburan kerajan (GLIC), Yayasan Badan Amanah dan orang perseorangan untuk bersama menjayakan insiatif ini.
Mengulas mengenai ikhtiar mengindustrikan pertanian pula, Ahmad Zahid berkata, beliau mencadangkan penubuhan sebuah entiti bagi mendanai dan membangunkan tanah bumiputera atau tanah berkelompok milik bumiputera yang berpotensi diusahakan dengan tanaman makanan.
Katanya, beliau mengambil contoh kejayaan FELDA dan FELCRA dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi di mana ia telah menjadikan negara antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.
“Kita sedar sebahagian masyarakat bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya.
“Namun, sekiranya tanah-tanah ini dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya setiap pemilik tanah dapat memperolehi manfaat berterusan disamping membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya.
Katanya, melalui ikhtiar ini, teknologi dan inovasi baharu boleh digunakan untuk meningkatkan hasil tanaman malah, ia dilakukan secara berstruktur bagi meningkatkan pengeluaran hasil.
Jelasnya, tiga ikhtiar itu dilihat mampu melonjakkan agenda pemerkasaan bumiputera menjelang usia satu abad negara merdeka. – UTUSAN










