PETALING JAYA: Kekejaman dan penindasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin boleh ditamatkan sekiranya Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk tidak lagi menyalurkan bantuan kepada Israel.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar geostrategi, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, hampir 70 hingga 80 peratus bantuan dari segi kewangan dan senjata kepada Israel dihulurkan oleh Amerika Syarikat.
“Tiga hari lepas, Belanda, Sepanyol dan Belgium mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantar bantuan kepada Israel.
“Walaupun negara Barat lain tidak lagi membekalkan bantuan senjata dan kewangan, AS masih menyalurkan 70 hingga 80 peratus bantuan kepada negara haram itu, sekali gus menjadi penyumbang utama Israel.
“Sebanyak 70 peratus bom yang digugurkan oleh Israel di bumi Palestin setakat ini merupakan bantuan daripada AS dan gesaan yang dilakukan oleh Malaysia supaya hentikan bantuan kepada Israel adalah tepat pada masanya,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Azmi, ekonomi Israel berpotensi jatuh merundum sekiranya bantuan daripada AS dihentikan segera.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia menggesa semua negara agar segera menghentikan sebarang bantuan kepada Israel di samping tidak mengiktiraf kezaliman dilakukan sehingga mencetuskan krisis kemanusian kepada rakyat Palestin.
Selain itu, Malaysia menekankan semua negara menghentikan segala bentuk bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Israel yang selama ini menafikan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan melakukan penjajahan yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Pakar Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. D.r Muhammad Fuad Othman berkata, masyarakat antarabangsa perlu campur tangan dan lakukan intervensi bermakna dalam konflik tersebut.
“Malaysia hendaklah meneruskan usaha menekan dan mempengaruhi masyarakat antarabangsa untuk meminta Israel menghentikan keganasan dan penaklukan haram di bumi Palestin.
“Kita menyokong peranan positif dan bermakna kerajaan Malaysia untuk mengetuai kempen boikot barangan Israel bagi mencengkam ekonomi Israel, selain mendesak negara haram itu patuh terhadap keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya berhenti menindas Palestin,” ujarnya. – UTUSAN











