PETALING JAYA: Menggunakan bas mampu mengurangkan hampir 50 peratus jumlah kenderaan persendirian di jalan raya pada waktu puncak sekali gus menjadi antara kaedah berkesan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.
Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, sebuah bas mampu membawa penumpang sehingga 40 orang yang membawa kepada pengurangan maksimum 30 kenderaan di jalan raya.
“Komuter, transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) juga boleh kurangkan kesesakan tetapi rangkaian pengangkutan itu tidak semua dekat dengan rumah.
Berita Berkaitan:
ALTERNATIF
“Bagi yang jauh dari stesen, mereka terpaksa menggunakan alternatif seperti kenderaan persendirian dan perkhidmatan e-hailing,’’ katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, warga kota membazirkan petrol bernilai kira-kira RM6.8 bilion setahun akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Mereka juga menghabiskan masa selama 580 jam setahun di atas jalan.
Munzilah berkata, jika pihak berkuasa boleh menambah bilangan bas awam di hampir kesemua laluan, keadaaan itu dapat memudahkan serta menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan tersebut ke tempat kerja mereka.
“Kita perlu bina laluan dan stesen perhentian bas awam di hampir semua kawasan pejabat, perumahan, perkampungan luar bandar, maka ia dapat membantu membawa pengguna ke destinasi yang mahu dituju,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pembinaan jalan raya terutama lebuh raya dikaji berdasarkan jumlah peningkatan kenderaan dalam masa 10 tahun, namun bilangan kenderaan melonjak lebih tinggi.
Jelasnya, keadaan itu dipengaruhi oleh pengeluaran kenderaan baharu mampu milik yang lebih praktikal dan versatil sehingga membuatkan orang ramai semakin cenderung untuk memiliki kenderaan sendiri.
Tambahnya, menurut kajian, satu rumah yang penghuninya orang yang bekerja, mempunyai dua ke tiga buah kereta dan sekurang-kurangnya sebuah motosikal.
Dalam pada itu, katanya, cara lain untuk mengatasi kesesakan trafik ialah dengan mewujudkan lebih banyak bulatan di kawasan jalan-jalan besar menggantikan lampu isyarat.
Selain itu, kata beliau, bagi perjalanan jarak dekat, misalnya mengambil masa lima minit ke 20 minit, orang awam digalakkan berjalan kaki sahaja.
Namun,katanya, masih ramai memilih menggunakan kenderaan untuk sampai ke destinasi dekat disebabkan kemudahan pejalan kaki di negara kita masih banyak kekurangan. – UTUSAN











