Pertahan nilai kekeluargaan di era media sosial

Pertahan nilai kekeluargaan di era media sosial

KADANGKALA kontroversi dicipta di dunia maya diikuti oleh netizen tanpa sikap tabayyun atau memeriksa kebenaran sesuatu hantaran dalam bentuk klip video atau artikel sehingga menyebabkan isu rumah tangga tersebar meluas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI kekeluargaan di zaman Kecerdasan Buatan (AI) ini ibarat cuaca dunia yang dilanda La Nina atau El Nino, ada kala hujan sering melanda dan tidak semena-mena ia menjadi panas tak berangin.
Kisah anak yang tergamak mencederakan ibu bapa dan membuang ibu bapa yang melahirkan mereka bukan kisah Nakhoda Tanggang atau pun Malin Kundang tetapi kisah-kisah pasca millenium yang dilaporkan secara meluas di media arus perdana dan media sosial.

Ada yang menganggap ia sebagai karma kepada ibu bapa tersebut yang dikatakan pernah menderhaka kepada ibu bapa mereka, namun sebagai umat Islam ketika perlu bersikap husnuzon dengan sesuatu perkara yang berlaku.

Mungkin benar ia karma atau perkara tersebut terjadi disebabkan lunturnya nilai menghormati orang yang lebih dulu makan garam dan orang yang mempunyai hierarki dalam sistem masyarakat.
Sebelum berkembangnya teknologi informasi dan komunikasi (ICT), di zaman pondok telefon dan zaman surat-menyurat nilai budi bahasa orang timur masih terserlah berbanding zaman aplikasi media sosial hari ini.

Hari ini media sosial bukan sahaja menjadi medan propaganda untuk menukar kepimpinan sesebuah negara malah ia menjadi gelanggang perbalahan yang merosakkan hubungan kekeluargaan, persahabatan malahan keharmonian dalam komuniti.

Dalam politik, adik-beradik berbeza pandangan hingga mencetuskan pergeseran, malahan suami isteri berpisah kerana masing-masing mempunyai pemimpin yang menjadi idola mereka.
Dalam zaman AI, media sosial menjadi tempat hubungan suami isteri yang dilanda ujian suami yang ingin berpoligami dijadikan bahan atas alasan mengejar pengikut dan tanda suka.

Jika mengikut logik, apa perlunya kisah rumah tangga orang lain dijadikan bahan perbualan dan hantaran pemilik akaun media sosial?

Lebih pelik pengguna media sosial yang tidak ada kena mengena dengan pengguna sosial yang tular kerana sesuatu isu, turut menyokong atau mengecam individu terbabit seolah-olah mereka kenal dengan pihak yang tular itu.

Sewajarnya nilai kekeluargaan iaitu menyimpan soal dalam kain dan kelambu pasangan suami isteri untuk pengetahuan mereka sendiri sahaja.

Apa faedahnya jika kita terus meraikan pengguna media sosial yang hanya mencipta isu, yang mana pada penghujungnya mereka ingin menjual produk yang berebut-rebut pengguna sosial ingin membelinya.

JANGAN MASUK CAMPUR

Kadang-kadang kontroversi dicipta di dunia maya diikuti oleh netizen tanpa sikap tabayyun atau memeriksa kebenaran sesuatu hantaran dalam bentuk klip video atau artikel.

Sebaiknya kita sebagai makhluk yang mempunyai jalan takdir hidup masing-masing, tidak mencampuri isu tular membabitkan keluarga selebriti di media sosial semata-mata kerana ingin kekal relevan sebagai pengguna media sosial yang paling awal menghantar komen.

Kita seharusnya sedar, golongan selebriti adalah manusia biasa, yang mempunyai keluarga dan masalah hidup mereka sendiri.

Bersikap empatilah kepada keluarga selebriti mahupun sesiapa sahaja di media sosial di saat ahli keluarga mereka digosip dan dilaporkan melakukan jenayah atau melanggar nilai kemasyarakatan.

Pendekatan ini akan memastikan nilai kekeluargaan dalam masyarakat akan dapat diperkasakan tanpa netizen tidak terus-terusan mengecam keluarga orang lain yang sedang menghadapi masalah.

Pada saat sesebuah keluarga diuji dengan perbuatan ahli keluarga mereka yang mengundang sorotan media, sebaiknya kita yang mempunyai keluarga untuk berdiam diri dan menjadikan ia sebagai contoh untuk tidak diikuti.

Pada zaman AI ini, pihak berkuasa sewajarnya mewujudkan satu garis panduan yang mesra nilai kekeluargaan di dunia maya.

Sewajarnya kisah rumah tangga yang kontroversi dan memberi kesan kepada agama Islam dan budaya timur disekat dari menjadi bahan perdebatan antara netizen bagi memelihara kesucian ajaran agama Islam yang syumul.

Sementara itu, isu melibatkan perundangan Islam yang menjadi buah mulut masyarakat disebabkan pertembungan antara nilai agama, budaya dan politik perlu diselesaikan dengan semangat untuk memastikan masyarakat majmuk kekal harmoni.

Pada saat ini semua pihak terutama dalam kalangan pemimpin politik, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, media malahan ketua kampung perlu memberi informasi yang tepat berhubung sesuatu isu bagi memastikan keluarga besar Malaysia tidak terus dimanipulasi pihak-pihak berkepentingan.

Cukup-cukuplah kita berbicara tentang isu sosioekonomi makro tetapi kita tidak memahami masalah yang dihadapi masyarakat marhaen yang merupakan golongan paling terkesan.

Permasalahan hidup golongan B40 disebabkan masalah pendapatan dan kos hidup yang meningkat, menyebabkan masalah lain seperti kesihatan dalam kalangan ketua keluarga.

Bagaimana kita boleh mewujudkan masyarakat yang mampu membawa negara menjadi negara maju dengan infrastruktur kelas satu seandainya nilai-nilai kekeluargaan yang mantap tidak disokong ekonomi yang memberangsangkan oleh pekerja yang sihat mental dan fizikal.

Seharusnya sebelum mitigasi ekonomi dilakukan untuk setiap golongan masyarakat, pemantapan nilai kekeluargaan perlu dilakukan kementerian terbabit.

Keluarga yang sihat akan mewujudkan pekerja yang sihat untuk menggerakkan kegiatan ekonomi secara holistik.

Untuk ia dicapai, nilai-nilai kekeluargaan perlu disemai bukan sahaja dalam keluarga itu sendiri tetapi dalam semua organisasi seperti jabatan kerajaan dan entiti perniagaan dari masa ke semasa.

Itu pun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab untuk melakukannya demi Malaysia Madani yang lebih cemerlang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×