Menyambut malam Nisfu Syaaban

Menyambut malam Nisfu Syaaban

NISFU Syaaban peluang kita memohon keampunan kepada Yang Maha Esa, jadi jangan lepaskan peluang untuk memperbanyakkan ibadat pada malam tersebut. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK kita akan menyambut malam Nisfu Syaaban. Ia sering disebut sebagai antara satu masa yang penting. Sememangnya ada galakan untuk umat Islam memperbanyakkan ibadat antaranya membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan qiamullail.

Dalam bulan yang penuh keistimewaan ini, terlebih istimewa dengan adanya satu malam yang dikhaskan oleh Allah SWT dengan tawaran pengampunan daripada Allah SWT. Malam tersebut dikenali sebagai malam separuh bulan Syaaban iaitu malam ke-15 atau disebut malam Nisfu Syaaban.

Ia sebagaimana hadis daripada Abu Musa al-Asya’ri r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menilik (hamba-hamba-Nya) pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hamba-Nya melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik. (Riwayat Ibnu Majah).

Cuma diharap tidak ada orang yang menganggap malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya. Sehingga ada sebahagian daripada masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana bimbang terlepas habuannya.

Kepercayaan seperti ini adalah dibimbangi akan menjejaskan akidahnya sebagai seorang muslim.

Imam al-Syafie dalam kitab al-Umm berkata, doa itu mustajab dalam lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam awal bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Sememangnya, hanya orang yang biasa atau istiqamah melakukan amal soleh yang mampu membanyakkan ibadat pada saat istimewa seperti malam Nisfu Syaaban. Mereka yang berpura-pura ‘alim’ tidak akan mampu mengekalkan momentum ibadat mereka terutama apabila ada pilihan dengan perkara-perkara lain meliputi hal-hal duniawi yang dilihat lebih menarik dan mengasyikkan oleh bisikan syaitan.

Galakan serta amalan-amalan tersebut seperti yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari. (Riwayat Ibnu Majah)

Ini juga menyediakan peluang untuk menunaikan puasa hari putih atau ayyamul bidh bermula 13 Syaaban iaitu hari ini, esok dan lusa. Puasa ini amat digalakkan oleh baginda Nabi SAW.

Oleh itu, janganlah lepaskan peluang hadir ke majlis menghayati Nisfu Syaaban beramai-ramai dan jadikanlah majlis ini sebagai titik permulaan untuk mereka menjinakkan diri dengan masjid dan surau selain mendapatkan kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t pada malam tersebut. Malahan sebagai seorang Islam adalah tidak wajar hanya memilih malam-malam tertentu untuk beribadat.

Seorang lagi ulama, Ibnu Rajab r.a mengatakan: “Berkaitan malam Nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. (Lathaif al-Ma’arif, 247)

Bagaimanapun, perlu diingatkan, tidak ada amalan tertentu pada malam tersebut melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan sebagainya.

PUASA SUNAT LEPAS NISFU SYAABAN

“Aku nak puasa sunatlah Isnin ni. Ini kan bulan Syaaban, bulan kita digalakkan berpuasa sebagai persiapan menghadapi Ramadan tidak lama lagi,” kata Abu.

Namun, rakannya, Isa menegur: “Kalau tak silap aku, kita tak boleh puasa sunat selepas 15 Syaaban tapi entahlah, aku pun tak berapa pasti”.

Demikian antara dialog yang kerap kedengaran apabila kita sudah berada pada Nisfu Syaaban. Ternyata, masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas Nisfu Syaaban. Ada yang menyangka, logiknya makin hampir dengan Ramadan makin elok kita puasa untuk membiasakan dengan puasa fardu itu.

Memang ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Ada yang membenarkan puasa selepas 15 Syaaban dan ada juga yang melarangnya. Menurut qaul yang muktamad dalam Mazhab Syafie hukum berpuasa selepas Nisfu Syaaban adalah haram dan tidak sah. (Namun, ada beberapa pengecualian yang akan dijelaskan di bawah).

Dalil-dalil yang melarang puasa selepas 15 Syaaban antaranya:

Dari Abu Hurairah ra, katanya: Rasulullah SAW ber­sabda yang bermaksud: Apabila telah tertinggal separuh dari bulan Syaaban, maka janganlah kamu berpuasa. (Riwayat Tirmidzi dan Abu Daud).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika telah separuh bulan Syaaban, maka tidak ada puasa sehingga tibanya Ramadan. (Riwayat Ibnu Majah).

Sungguhpun dihukumkan haram, pengharaman berpuasa pada nisfu kedua Syaaban bukan mutlak. Ia bukan seperti pengharaman berpuasa pada lima hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa iaitu pada 1 Syawal dan 10 Zulhijah (hari raya puasa dan haji) dan juga tiga hari tasyrik. Sebaliknya, peng­haraman berpuasa selepas Nisfu Syaaban dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ia mempunyai pengecualian. Maka hukum haram dan tidak sah puasa selepas nisfu kedua Syaaban mempunyai pengecualian seperti berikut:-

1. Puasa sunat itu disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada dalam nisfu pertama (separuh pertama) Syaaban walaupun dengan hanya satu hari (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Syaaban) dengan syarat ia berterusan sehingga Ramadan.
Jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut.

Contohnya, jika seseorang berpuasa sunat pada 15 Syaaban, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Syaaban dan hari-hari berikutnya. Tetapi jika setelah berpuasa pada 15, 16, 17 Syaaban, dia tidak berpuasa pada 18 Syaaban, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunat pada 19 Syaaban dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah masuk Ramadan.

2. Puasa sunat yang dilakukan menjadi amalan biasa seseorang (orang yang ahli puasa). Contohnya, seseorang yang mengamalkan puasa setiap Isnin dan Khamis, maka tidaklah jadi halangan untuknya meneruskan puasanya itu.

3. Puasa qada sama ada qada puasa fardu atau qada puasa sunat yang berwaktu.

Saidatina Aisyah sendiri mengqada puasanya dalam Syaaban.

Ia sebagaimana hadis Nabi daripada Abi Salamah iaitu aku mendengar Aisyah berkata yang bermaksud: “Saya mempunyai tanggungan hutang puasa Ramadan. Saya tidak mampu mengqadanya kecuali di bulan Syaaban. Menurut Yahya, Aisyah mengqada di bulan Syaaban kerana sibuk melayani Nabi Muhammad. (Muttafaq alaih).

4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ia tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nisfu kedua Syaaban.
Contohnya, seseorang bernazar mahu berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis itu sudah masuk dalam separuh kedua Syaaban, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.

Namun, jika dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nisfu kedua Syaaban, tidaklah boleh dia berpuasa dan tidak sah nazarnya itu.-UTUSAN

MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×