RM6 juta bina bangunan sementara SK Perigi Acheh - Utusan Malaysia

RM6 juta bina bangunan sementara SK Perigi Acheh

AZNAN Tamim (dua dari kiri) berbincang dengan Mohd. Hanafi Samad (tiga dari kiri) dan Azizul (kiri) serta pegawai lain di SK Perigi Acheh, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi membina bangunan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, Pasir Gudang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, bangunan sementara itu akan dibina di kawasan berhampiran lokasi asal sekolah berkenaan, tidak lama lagi dan dijangka  siap menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan sesi persekolahan tahun depan dilaksanakan di premis berkenaan.

“Bangunan asal sekolah ini yang dibina menggunakan kayu telah ditutup sejak 30 Julai 2021. Langkah itu dibuat kerana ia tidak lagi sesuai demi keselamatan murid dan guru.

“Justeru, seramai 95 murid di SK Perigi Acheh telah dipindahkan ke SK Tanjong Langsat yang berjarak kira-kira lima kilometer dari kampung ini.

“Walau bagaimanapun, kesemua mereka serta 12 guru akan kembali bersekolah di bangunan sementara ini pada sesi persekolahan tahun depan, bangunan sementara ini akan dilengkapi semua keperluan persekolahan murid-murid,” katanya selepas melakukan lawatan ke sekolah berkenaan yang turut disertai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Hanafi Samad.

Aznan berkata, bangunan sementara SK Perigi Acheh akan dibina menggunakan ‘skeleton frame’ dan ‘simen board’ yang mempunyai daya ketahanan penggunaan lasak antara tujuh hingga sembilan tahun.

“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan daripada Kementerian Pendidikan bagi pembinaan semula sekolah SK Perigi Acheh di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK-12).

“Bangunan sekolah sedia ada ini akan dirobohkan sepenuhnya agar pembinaan sekolah baharu yang kekal dapat dilakukan demi kesejahteraan murid, guru dan penduduk kampung ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM50,000 sebagai kos pengangkutan murid-murid sekolah berkenaan yang dipindahkan ke SK Tanjong Langsat.

“Peruntukan tersebut digunakan untuk menyewa bas yang membawa mereka ke sekolah berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×