Perkasa Mara, perkukuh kerajaan perpaduan

Perkasa Mara, perkukuh kerajaan perpaduan

Tekanan Israel
ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
DALAM tempoh setahun selepas penubuhan kerajaan perpaduan, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI menjadi antara individu penting di negara ini dan banyak memainkan peranannya baik sebagai pemimpin kerajaan mahupun pemimpin politik.

Ini kerana, beliau kini merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Setiausaha Agung UMNO dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan OMAR ZIN bersama jurufoto, AMARULLAH ZAINUZZAMAN bagi mendapatkan pandangan beliau.

 

PENGERUSI MARA

UTUSAN : Bagaimana prestasi Mara setakat ini?
ASYRAF WAJDI: Mara adalah satu institusi Melayu dan bumiputera terbesar, mempunyai ekosistem yang lengkap dari segi pendidikan, ekonomi, keusahawanan sampailah kepada aspek pelaburan.
Sebenarnya Mara boleh pergi lebih jauh lagi dengan potensi yang ada dengan kepercayaan daripada kerajaan dan keyakinan orang Melayu. Tetapi kalau kita nak pergi lebih jauh perkara pertama yang saya tekankan adalah aspek tadbir urus.

Pengurusan kewangan mesti pada tahap terbaik. Itu sebab saya cadangkan untuk membawa masuk individu seperti bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan pakar ekonomi, Tan Sri Noor Azlan Ghazali.

Kompetensi dalam kalangan pekerja ataupun warga Mara pun bagus dan kita garapkan potensi ini sebaik mungkin. Sebab itulah selepas setahun, kita memperkenalkan pendekatan 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan.

Kita boleh berbangga Mara telah menghasilkan lebih daripada 1.7 juta anak Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang profesional daripada penubuhannya sampai sekarang kerana pendidikan adalah bidang utama Mara.

Tetapi apakah kita hanya berpuas hati penyertaan bumiputera dalam pelbagai sektor profesional sekadar makan gaji macam itu atau sekadar mendapat imbuhan yang lumayan berada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat-syarikat?

Sejauh manakah pemilikan orang Melayu dan bumiputera dalam pelbagai sektor yang kita terokai ataupun sertai? Contohnya, kita lahirkan lebih daripada 10,289 doktor, ahli farmasi dan doktor gigi tetapi kita kena nilai juga sejauh mana doktor-doktor ini dari segi pemilikan dalam industri perubatan seperti klinik, hospital dan itu kita kena nilai.

Sebab itulah Mara bergerak ke satu langkah lagi. Kita membiaya doktor yang nak buka klinik. Kalau tengok Uni Klinik itu adalah jenama Mara dan kita ada hampir 100 cawangan, ini satu contoh bagaimana soal pemilikan dalam pelbagai sektor.

Bila kita lihat dari segi penyertaan dan pemilikan, kita kena ukur sejauh mana peratusan penguasaan bumiputera dalam seluruh rantaian bekalan dalam industri.

Sebab yang paling penting ialah kita nak pastikan apa juga agenda bumiputera yang diamanah kepada Mara dapat kita laksanakan dengan penuh amanah, mempunyai impak yang benar-benar berkesan dan bermakna.

Mara diperuntukkan RM3.99 bilion dalam Belanjawan 2024, bagaimana ia diagihkan?
Sebahagian besarnya, 80 peratus daripada RM3.99 bilion adalah untuk sektor pendidikan. Kita ada tiga sektor iaitu pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.

Dalam sektor pendidikan, Mara ada dua aliran iaitu kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan aliran akademik biasa.

Maknanya seorang pelajar yang masuk Giatmara boleh sambung ke Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan akhirnya boleh masuk ke UniKL atau ke universiti lain. Manakala akademik pula kita ada kolej Mara, kolej profesional Mara, kolej Poly-Tech Mara dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). Jadi, dua aliran itu sahaja peruntukannya hampir RM1.5 bilion.

Selebihnya iaitu RM2 bilion lagi, banyak dimanfaatkan kepada program-program penajaan untuk pelajar ke luar negara seperti United Kingdom, Australia, Jordan, Mesir, Jerman dan sebagainya.

Bagaimana tahap kebolehpasaran pelajar Mara?
Kita bekerjasama rapat dengan pelbagai pemain industri, sebab itulah dari segi kadar kebolehpasaran kerja graduan-graduan IKM, KKTM atau UniKL secara puratanya 95 ke 97 peratus.

Semua program kita bersandarkan kepada keperluan industri dan penyertaan industri secara langsung. Kita mahu graduan-graduan kita dapat terus bekerja di tempat mereka.

Ia memberi manfaat kepada dua kelompok pelajar, pelajar yang berada dalam institusi pendidikan Mara dan juga pelajar yang kita taja ke luar negara. Bila balik, mereka sudah ada peluang pekerjaan dengan gaji, bukan gaji minimum tetapi gaji bermaruah, memenuhi keperluan kualifikasi ataupun kompetensi.

Bagaimana penglibatan Mara dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024?
Mara buat pertama kali dalam sejarah diberikan amanah sebagai sekretariat penganjuran bersama dengan Kementerian Ekonomi. Ini memang tepat sekali kerana Mara adalah manifestasi ataupun simbol yang lahir daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada 1965 dengan membawa resolusi yang menukar Rural Industrial Development Authority (RIDA) kepada Mara dan secara rasminya ditubuhkan pada 1 Mac 1966.

Kalau bercakap soal masa depan kongres ini, Mara wajar diberikan amanah untuk menilai dan mengukur kejayaan resolusi ataupun pelaksanaan resolusi ini supaya ia tidak hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun syok sendiri dan berkongres selama tiga hari itu, tidak termasuk sesi libat urus yang berpuluh-puluh diadakan di seluruh Malaysia.

Tetapi siapa yang hendak menilai dan mengukur kongres ini? Bagi saya, Mara adalah institusi yang terbaik kerana Mara ini yang pertama dari sejarahnya.

Sebab itu, kalau kita anjurkan kongres bumiputera, perlu bagi saya cadangkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini menjadikan Mara sebagai sekretariat penganjur dan diharapkan ia boleh jadi sekretariat tetap untuk memantau semua resolusi-resolusi ini. Ini adalah pendekatan yang terbaik.

 

MARA telah menghasilkan lebih daripada 1.7 juta anak Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang profesional daripada penubuhannya sehingga ke hari ini. – GAMBAR MARA

KERAJAAN PERPADUAN

Bagaimana hubungan parti-parti dalam kerajaan perpaduan?
Antara perjanjian persefahaman penubuhan kerajaan perpaduan ialah mewujudkan satu sekretariat yang memainkan peranan penting sebagai satu platform yang bukan sahaja mengawal selia hubungan yang mungkin tidak biasa sebelum ini, tetapi bila kita berada dalam kerajaan, di situlah medan untuk kita mewujudkan persefahaman.

Di situlah medan juga untuk kita menyelesaikan apa juga isu-isu yang berbangkit. Kalau ada perkara-perkara yang melibatkan ketidakpuasan hati dan sebagainya, saya sebagai ketua sekretariat diamanahkan untuk menguruskannya. Sebab itulah kita ada mesyuarat secara berkala Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Kita juga ada jawatankuasa-jawatankuasa antaranya jawatankuasa pemantauan agenda kerajaan dan politik. Di sinilah platform yang mana wakil-wakil pimpinan parti kebanyakannya senior-senior yang dipilih oleh presiden parti masing masing untuk berbincang kalau ada isu berbangkit.

Sebab itu, peranan utama saya adalah untuk memastikan apa juga isu yang berbangkit, kita dapat selesaikan secara harmoni dalam semangat musyawarah. Yang paling penting, saya percaya satu pendekatan ialah masalah apa pun boleh diselesaikan kalau kita bersemuka.

Datuk tidak terkesan dengan label-label terhadap hubungan UMNO dan DAP?
Ini adalah label yang bersifat retorik yang cuba dibawa oleh musuh-musuh politik yang mencemburui bila dia melihat kerajaan perpaduan ini kukuh. Jadi mereka membawa naratif seolah-olah kerajaan perpaduan ini UMNO dan DAP sahaja.

Walhal UMNO bukan buat kerjasama dengan DAP. Kita buat kerjasama dengan parti-parti lain dan kita ada 157 sokongan ahli Parlimen sekarang sebab ada ahli Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan juga Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. Jadi soalnya, kalau UMNO dengan DAP sahaja pun tidak boleh tubuh kerajaan perpaduan.

Macam mana 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bergabung dengan 40 ahli Parlimen DAP? Maknanya, ini hanya mainan politik bagi mereka yang cemburu dengan kesepaduan kerajaan perpaduan dan UMNO pun berpegang kepada prinsip dalam dua syarat perjanjian secara bertulis.

Ramai mungkin tidak tahu bahawa kita ada syarat pemula perundingan. Sebelum berunding pun kita letak syarat dan perjanjian persefahaman menubuhkan kerajaan perpaduan.
Dalam dua-dua perjanjian ini, saya terlibat secara langsung dan kita letak syarat secara jelas. Kalau UMNO bersetuju untuk menubuhkan kerajaan perpaduan sekalipun bersama dengan parti-parti lain, empat perkara kita tidak boleh kompromi.

Pertama, Islam sebagai agama Persekutuan. Kedua, kedudukan keistimewaan Melayu bumiputera. Ketiga, institusi Raja-Raja Melayu tidak boleh diperlekeh dan dipertikaikan dan keempat, bahasa Melayu.

Sebab itu, kita tidak merasa risau dan runsing bila ada suara suara sumbang. Mungkin seorang dua daripada ahli parti yang menimbulkan satu-satu perkara yang menyentuh sensitiviti orang Melayu.

Saya sebagai ketua sekretariat, saya hanya akan buat kenyataan selepas menutup segala kecelaruan sebab kita ada forum lain. Kita boleh terus mengingatkan parti-parti politik kerajaan dan sentiasa mengingatkan perjanjian-perjanjian yang kita telah tandatangani.

Bagaimana dengan hubungan antara ahli jemaah Kabinet?
Kita pun tidak pernah ada masalah dalam Kabinet. Contohnya, kalau pun ada cadangan seperti cadangan Nga Kor Ming, dia hanya bagi cadangan di luar Kabinet. Dia tidak pernah bawa ke Kabinet lagi.

Sebab itulah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas mengatakan tidak perlu bincang lagi sebab UMNO sudah buat pendirian.

Menteri-menteri dalam konteks pentadbiran negara apabila nak mencadangkan sesuatu dasar baharu, dia tidak boleh hanya sekadar lulus di kementerian. Dia mesti bawa ke jemaah Menteri.

Takkanlah orang UMNO yang ada tujuh menteri dan timbalan perdana menteri akan membiarkan apa juga isu sensitif diluluskan. Sebab itulah, kerajaan perpaduan ini sebenarnya tidak ada masalah, sebab kita ada dua medan musyawarah.

Satu dalam Kabinet yang berjumpa setiap minggu dan satu lagi majlis pimpinan parti-parti politik serta majlis perundingan pimpinan kerajaan perpaduan, yang mana kita bertemu secara berkala. Isu-isu inilah yang selalunya kita timbulkan dan alhamdulillah setakat ini semua menghormati.

Kalau kita lihat, isu yang DAP mainkan dulu seperti Malaysian Malaysia ataupun dia mahu semuanya sama rata. Islam dan agama lain mesti sama rata tetapi Anthony Loke sebagai ketua tertinggi DAP sekarang iaitu setiausaha agung sudah menyatakan secara terbuka.

Bukan sahaja dalam siri-siri kempen pilihan raya tetapi dalam perhimpunan tahunan DAP di hadapan ahli-ahli dan juga kepimpinan mereka disaksikan oleh kami yang hadir pada waktu itu.

Mereka menyatakan komitmen mereka untuk menghormati segala prinsip-prinsip yang telah pun ada dalam Perlembagaan termasuk kedudukan Melayu bumiputera tidak akan diganggu sama sekali, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan juga bahasa Melayu.

Apabila itu sudah diberikan secara pernyataan umum dalam perhimpunan, bagi kami itu sudah cukup bagus dan saya sebagai ketua sekretariat sudah tentu tanggungjawab saya untuk memantau supaya apa yang ditakuti oleh orang Melayu di luar, bahawa Islam terancam, Melayu terancam itu tidak akan berlaku.

Bagi kami di peringkat pimpinan UMNO, selagi kita berada dalam kerajaan perpaduan, insya-Allah, agenda Islam dan bumiputera tidak pernah kita pinggirkan. Kita akan terus perkasakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×