BUKIT MERTAJAM : Seramai 12 warga asing ditahan dalam Ops Mahir di sebuah kilang menjahit dan memborong pakaian di Taman Industri Impian, Alma, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan orang awam yang menyatakan terdapat warga asing yang tinggal dan bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
Katanya, menerusi operasi yang bermula pukul 10.30 pagi itu, seramai 130 warga asing melibatkan 61 lelaki dan 69 wanita daripada beberapa negara telah diperiksa.
Mereka yang diperiksa terdiri daripada 78 orang warga negara Myanmar, 27 warga Bangladesh, 18 warga Nepal, enam warga Indonesia serta seorang warga China yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Daripada jumlah itu pula, seramai 12 orang daripada mereka iaitu lima lelaki dan tujuh wanita telah ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan semua majikan supaya menggaji pekerja asing menggunakan saluran yang betul.
“Jangan ambil pekerja asing tanpa permit untuk mengelakkan tangkapan sebegini.
“Kita akan terus melaksanakan operasi dan bukan sahaja warga asing akan dikenakan tindakan, malah majikan turut berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Untuk rekod, operasi terbabit adalah operasi ke-102 yang telah dijalankan setakat ini dan daripada jumlah itu, seramai 90 warga asing ditahan manakala tujuh majikan telah didakwa.-UTUSAN










