PETALING JAYA: KPJ Healthcare mencatatkan keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM302.6 juta pada tahun kewangan 2023 berakhir 31 Disember 2023 (TK2023), peningkatan 50 peratus daripada RM201.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh berkenaan, Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM3.42 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM377.9 juta, peningkatan 37 peratus daripada RM275.1 juta tahun sebelumnya.
Menurut syarikat pengendali perkhidmatan kesihatan itu, keputusan cemerlang yang diraih oleh Kumpulan bagi TK2023 didorong oleh penerusan operasi yang mencatatkan hasil sebanyak RM302.6 juta, melonjak sebanyak 50 peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Ia sekaligus menyumbang kepada peningkatan keseluruhan jumlah hasil sebanyak 19 peratus daripada RM2,868.5 juta bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 (TK2022) kepada RM3,418.7 juta bagi TK2023.
“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM838.0 juta, berbanding RM716.0 juta pada TK2022.
“Kumpulan juga menyaksikan peningkatan 19 peratus dalam bilangan pesakit dalam, daripada 305,051 kepada 361,987 pesakit, dengan Kadar Penggunan Katil (BOR) juga meningkat kepada 67 peratus daripada 58 peratus pada TK2022,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku keempat, Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM911.5 juta, melonjak 19 peratus daripada RM765.8 juta suku sama tahun sebelumnya.
Katanya, PAT daripada penerusan operasi bagi S4 TK2023 meningkat kepada RM85.2 juta, peningkatan 10 peratus daripada RM77.5 juta daripada suku yang sama tahun lepas.
“PBT bagi S4 TK2023 pula adalah sebanyak RM83.4 juta, menyaksikan pelarasan strategik daripada RM91.7 juta pada suku yang sama tahun lepas,” katanya.
Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, pencapaian yang mampan dan kukuh pada TK2023 merupakan bukti keberkesanan pendekatan strategik dan komitmen berterusan Kumpulan terhadap kecemerlangan operasi, berlandaskan prinsip teras untuk mengutamakan penjagaan pesakit.
“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pesakit di atas kepercayaan yang diberikan dan juga kepada seluruh warga kerja KPJ Healthcare di atas dedikasi mereka kerana sentiasa mengangkat prinsip ‘Care for Life’ dalam melunaskan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Katanya, untuk hala tuju TK2024, Kumpulan akan terus meletakkan fokus bagi meningkatkan pencapaian prestasi, terutamanya bagi hospital rangkaian yang masih baharu.
Katanya, Kumpulan akan meneroka sumber baharu, memperbaiki proses operasi, memupuk bakat serta menyumbang lebih banyak kepada aspek kelestarian.
“Tahun ini akan menyaksikan kami melaksanakan strategi pertumbuhan inovatif demi menyampaikan nilai yang mampan bagi mengukuhkan kedudukan pasaran kami.
“Kemasukan dua hospital kami, Hospital Pakar KPJ Damansara dan Pakar Damansara 2 sebagai ahli Mayo Clinic Care Network hanyalah satu daripada pelbagai lagi pelan inisiatif berimpak tinggi yang sedang kami usahakan.
“Kami juga turut memperkenalkan program bakat kami – ‘Future Forward Leaders’ – selaras dengan usaha kami untuk membawa transformasi baharu kepada KPJ sekaligus mengangkat rangkaian hospital kami ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.
Susulan prestasi TK2023 yang kukuh, KPJ Healthcare mengisytiharkan dividen interim pertama untuk TK2024 sebanyak 1.0 sen sesaham, dengan jumlah permbayaran RM43.6 juta.
Dividen akan diagihkan kepada pemegang saham KPJ Healthcare pada 29 Mac 2024. – UTUSAN










