PEDi akan dijenamakan semula

PEDi akan dijenamakan semula

FAHMI Fadzil (duduk) ketika melawat PEDi Taman Gelugor Indah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.-UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR : Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menjenamakan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) menjelang suku kedua tahun ini dalam usaha memperluaskan perkhidmatan pusat sehenti komuniti itu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, penjenamaan baharu itu juga selaras dengan hala tuju serta fungsi PEDi yang kini sedang diperkasakan.

Katanya, berdasarkan pengalaman dan pengamatan di lapangan, kebanyakan individu yang datang ke PEDi melakukan aktiviti yang bukan berasaskan ekonomi digital semata-mata.

“Ada yang datang untuk mendapatkan maklumat mengenai geran dan ada yang mahu tahu mengenai bantuan serta perkhidmatan (agensi) kerajaan.

“Terdapat juga sesetengah PEDi yang mempunyai kemudahan sebagai pejabat pos dan saya lihat ada keperluan untuk kita lakukan proses tambah baik PEDi ini.

“Selain itu, kenaikan elaun pengurus dan penolong pengurus PEDi antara sebab untuk kita buat perangkaan semula dan penjajaran baharu memandangkan fungsi PEDi boleh diperluas dalam membantu masyarakat mendapatkan maklumat lebih tepat berhubung dasar kerajaan, bantuan yang boleh mereka terima serta pelbagai perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai lawatan kerja ke PEDi Taman Gelugor Indah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penjenamaan semula PEDi itu bagaimanapun dijangka dilaksanakan menjelang suku kedua tahun ini disebabkan proses tersebut akan memakan sedikit masa.

“Sesetengah PEDi masih dalam proses penambahbaikan manakala ada PEDi yang masih dalam proses pembinaan.

“Kita hendak selaraskan semua PEDi ini dan kita juga perlu merangka program latihan buat agensi lain di bawah kementerian antaranya Jabatan Penerangan bagi memastikan pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Sehingga Disember lalu, seramai 1.3 juta rakyat telah memanfaatkan 911 PEDi di seluruh negara termasuk program bimbingan yang diberi kepada 28,649 usahawan.

Dijangkakan, sebanyak 156 PEDi yang kini dalam pembinaan akan siap sepenuhnya pada Jun hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×