Jho Low ugut jadikan hidup saya seperti di neraka – Jasmine Loo

Jho Low ugut jadikan hidup saya seperti di neraka – Jasmine Loo

NAJIB Razak ketika hadir perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low akan membuatkan kehidupannya seperti di neraka sekiranya beliau pulang ke Malaysia.

Takut dengan keselamatan dirinya, Jasmine ‘memilih’ untuk berada di luar negara selama lebih kurang lima tahun.

“Saya tiada niat untuk mela­rikan diri. Saya berada di Bangkok, Thailand ketika Pilihan Raya Umum ke-14 dan apabila keputusan pilihan raya keluar dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib kalah, saya diarahkan oleh Jho Low untuk tidak pulang ke Malaysia.

“Katanya, situasi akan menjadi teruk buat saya sekiranya saya pulang. Dia berjanji akan menguruskan segalanya,” kata Jasmine.

Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata demikian dalam perbica­raan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 71, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 ­bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Jasmine berkata, selain itu, dia juga menerima ugutan daripada Jho Low sekiranya beliau pulang ke Malaysia.

“Sebelum balik ke Malaysia, saya pernah menerima ugutan (daripada Jho Low). Jho Low bersumpah akan menjadikan kehidupan saya seperti di neraka dan beliau akan menggunakan segala sumber serta kuasa yang ada bagi memastikan saya akan ada kehidupan yang sangat teruk sekiranya pulang ke Malaysia,” ujar beliau.

JALAN SELAMAT

Namun, ujar wanita itu, beliau tetap menyimpan hasrat untuk pulang ke negara ini dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa namun gagal berbuat demikian kerana tidak menjum­pai jalan selamat untuk kembali ke tanah air.

Disoal mengenai cara beliau menampung kehidupannya di luar negara tanpa bekerja, Jasmine menyatakan, setiap tujuh atau lapan bulan, seseorang yang tidak dikenalinya akan memberikan AS$2,500 kepadanya. Wang tersebut adalah daripada Jho Low.

“Memang sesuatu yang keji untuk bergantung hidup kepada seseorang yang telah bersumpah untuk menjadikan kehidupan saya seperti di neraka tetapi saya tiada pilihan lain untuk meneruskan kehidupan. Saya tiada mempunyai sumber lain.

“Saya sedang cuba untuk meneruskan kehidupan dan dalam masa sama, mencari jalan untuk balik ke Malaysia dengan selamat dan tanpa diketahui oleh Jho Low. Saya ingin kembali (ke Malaysia) tetapi saya seperti terperangkap. Saya sedang berjuang untuk nyawa saya,” kata Jasmine.

KEMBALI

Beliau kemudian menghubu­ngi peguam di negara ini dan berbincang cara untuk kembali ke Malaysia dengan selamat namun semuanya tertangguh ekoran pandemik Covid 19.

Katanya, sekitar April 2021, peguamnya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara dengan menawarkan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung skandal penyelewengan dana 1MDB itu sebagai ganti kepada laluan selamat untuk pulang ke negara ini.

Jasmine dibawa pulang ke Malaysia pada 7 Julai 2023 dan mula memberikan keterangan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas tiba di negara ini.

Pada 3 Mei 2023, seorang lagi ‘sekutu’ Jho Low iaitu Kee Kok Thiam telah ditahan SPRM selepas pesawat yang membawanya dari Macau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Lelaki berusia 51 tahun itu dihantar pulang dari Macau kerana tinggal di wilayah itu melebihi tempoh visa.

Lelaki terbabit bagaimanapun meninggal dunia akibat strok pada 29 Mei 2023 ketika siasatan SPRM terhadap lelaki itu masih lagi berjalan.

Media ketika itu turut melaporkan bahawa Kok Thiam mengesahkan dia bertemu Jho Low dan beberapa suspek 1MDB yang lain, termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal di Macau.

Katanya, Jho Low juga berpesan kepada Kok Thiam supaya ‘tidak pulang ke Malaysia’ sebagai saksi dalam kes 1MDB.

DERMA ARAB

Sementara itu, Jasmine memberitahu, bagi ‘mendiamkan’ pertanyaan-pertanyaan yang timbul berhubung wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib, Jho Low mengarahkan salah seorang ‘sekutunya’ untuk membuat surat mengatakan wang terbabit adalah derma Arab.

Katanya, arahan tersebut diberikan Jho Low kepada Kee Kok Thiam.

Beliau turut mengesahkan surat derma bertarikh 1 Jun 2014 ketika ditunjukkan kepadanya di Mahkamah Tinggi, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai surat-surat derma Arab selain yang bertarikh 1 Jun 2014 itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

Dalam pada itu, Jho Low meminta Jasmine agar tidak risau berhubung transaksi kemasukan wang ke dalam akaun Najib.

“Berkenaan dengan tujuan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak, selepas saya tahu mengenai semua transaksi-transaksi ini melalui media dan laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada sekitar 2015 dan 2016, saya ada bertanya kepada Jho Low kenapa perlunya sebegitu banyak wang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

DANA POLITIK

“Jho Low mengatakan ianya adalah untuk dana politik Barisan Nasional khususnya UMNO. Selepas saya mendesak dan bertanya lagi kepada Jho Low berkenaan dengan hal transaksi-transaksi ini, Jho Low menyuruh saya supaya jangan risau dan dia akan uruskan dan saya tidak perlu mengambil apa-apa tindakan kerana dia akan menguruskan segala-galanya.

“Jho Low juga mengatakan sekiranya apa-apa terjadi kepadanya, dia mempunyai bukti-bukti menunjukkan apa yang telah dilakukan olehnya adalah mengikut permintaan, kehendak dan dalam pengetahuan Datuk Seri Najib Razak,” kata saksi pendakwaan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×