PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini akan melibatkan semua penyertaan kaum bumiputera di negara ini termasuk Orang Asli.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kongres yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu juga akan disertai semua dewan perniagaan berkaitan bumiputera di negara ini.
Beliau berkata, kongres turut meraikan semua pihak tanpa membezakan warna dan latar belakang politik.
“Kita (kerajaan) ‘buta warna’ dalam ekonomi bumiputera,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Prapeluncuran KEB 2024 di sini, hari ini.
Majlis prapeluncuran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Katanya, KEB 2024 dijangka tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh mengenai hala tuju pembangunan dan ekonomi bumiputera di negara ini.
Ahmad Zahid berkata, program tiga hari itu dijangka disertai lebih 3,000 peserta terdiri daripada dewan perniagaan berkaitan bumiputera termasuk suku kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, program itu juga akan melibatkan pembentangan sesi libat urus (SLU) daripada 10 kluster terpilih di mana kesemua dapatan itu akan dirangkumkan menjadi satu resolusi.
“Setiap kluster akan diuruskan oleh pemegang taruh dan pakar dalam bidang masing-masing sebelum resolusi dikemukakan dan hasil rumusannya dibentangkan kepada Perdana Menteri pada hari terakhir KEB 2024 pada 2 Mac ini.
Katanya, KEB 2024 juga akan menggali beberapa aspek teknologi dan peluang baharu dalam bidang yang belum terjangkau di negara ini termasuk unjurannya bagi 10 hingga 20 tahun akan datang.
Jelasnya lagi, KEB 2024 juga akan membincangkan usaha bagi memperkasakan institusi dan agensi berkaitan bumiputera yang diwujudkan sejak kongres pertama pada 1965.
Ditanya apakah tahap ekonomi bumiputera ketika ini berbanding kaum-kaum lain, Ahmad Zahid berkata, ia akan didedahkan pada KEB 2024 itu nanti.
“Kita akan lihat pembentangan itu nanti. Analisis telah dilakukan dan saya tidak mahu bentang sehingga hari kongres berlangsung,” katanya. – UTUSAN










