KUALA NERUS: Peluang merebut tempat dalam kesebelasan utama menjadi tarikan utama Akhyar Rashid untuk menyertai Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi musim 2024/25.
Pemain sayap Harimau Malaya itu berkata, keazaman untuk mendapatkan lebih minit permainan mendorongnya ‘beralih angin’ ke Pantai Timur dan meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) secara pinjaman.
Malah Akhyar, 25, mengakui berharap dapat mengembalikan semula sentuhannya selepas dia lebih banyak memanaskan bangku simpanan JDT sepanjang tahun lalu.
Sering dibayangi pemain bertaraf bintang di JDT, Akhyar sekadar beraksi 12 kali dalam Liga Super tahun lalu dengan hanya dua daripadanya dalam kesebelasan utama manakala 10 sebagai pemain gantian.
“Saya lihat pasukan ini sudah kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan dibarisi majoriti pemain tempatan termasuk tonggak muda yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.
“Itu yang menyebabkan saya mahu menyarung jersi hitam putih TFC musim ini selain mendapatkan lebih banyak minit permainan dan menimba ilmu bersama pasukan baharu.
“Saya harap dapat membalas kepercayaan TFC terutama ketua jurulatih (Tomislav Steinbruckner) yang bersungguh-sungguh mendapatkan khidmat saya,” katanya di sini, hari ini.
Akhyar dijangka menjadi taruhan terbaik skuad Penyu di jentera serangan bersama Safawi Rasid yang turut dipinjamkan daripada JDT, serta penggempur utama, Ivan Mamut.
Selain Akhyar dan Safawi, TFC sebelum ini turut mengumumkan kehadiran pemain tengah berpengalaman, Akram Mahinan, sebagai persiapan menghadapi musim baharu.
Tiga pemain berkenaan antara muka baharu skuad Penyu yang turut bakal diperkuatkan bek tengah kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden dan bekas penyerang Kelantan FC, Ishmahil Akinade.
TFC melakukan rombakan menggugurkan 12 pemain daripada skuad tahun lalu antaranya kapten, Habib Haroon, Sony Norde, Adisak Kraisorn, Sardor Kulmatov, Omid Nazari dan Liridon Krasniqi.-UTUSAN







