ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kes jenayah ke atas dua pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan itu akan dilakukan secara menyeluruh termasuk mengenalpasti motif serangan selain dalang terlibat.
“Kita kena ingat sudah ada tangkapan dibuat. Bila tangkapan dibuat pihak polis akan mulakan siasatan. Jadi semua perkara yang boleh bantu untuk kenal pasti motif polis akan beri tumpuan termasuk ada ‘build up’ yang bertujuan untuk meletakkan sasaran kepada mana-mana pemain.
“Jadi untuk itu pihak polis diberikan ruang seluas-luasnya untuk melihat semua perkara tersebut,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di Menara Alor Setar, di sini hari ini.
Beliau pada masa sama turut menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.
“Jadi tidak perlu diteruskan untuk kita atau pihak polis mengulas perkara yang bersifat spekulasi. Pihak polis akan melihat semua sudut,” katanya.
Jelas beliau, siasatan juga akan menjurus kepada penggunaan media sosial yang bertujuan untuk membangkitkan rasa kebencian melalui hantaran yang meletakkan sasaran kepada satu individu.
“Jadi kalau kesan daripada hantaran itu yang berulang-ulang bertujuan untuk membangkitkan kebencian nanti akan ada kelompok yang kemudiannya akan bertindak mengambil tindakan sendiri.
“Kalau didapati media sosial yang maksud saya akaun sosial media yang saya kenal pasti sebegitu, sudah tentu polis akan mengambil tindakan. Buat masa sekarang kita bagi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat,” tambahnya.
Tambah Saifuddin, pihaknya juga memberi jaminan pasukan keselamatan akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan sepanjang perlawanan Liga Malaysia.
Katanya, aspek keselamatan semua yang terlibat dalam MFL menjadi keutamaan pasukan keselamatan negara terutama polis ketika ini. – UTUSAN










