JERANTUT: Sektor pelancongan di Ulu Tembeling, Jerantut kian mendapat perhatian pelancong negara Eropah apabila sebilangannya mula membanjiri kawasan pedalaman tersebut selain Taman Negara Kuala Tahan daerah ini.
Antara kampung yang kerap dilawati pelancong Mat Salih, iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, kampung Gusai dan Jeram Perahu selepas musim tengkujuh berlalu.
Paling menarik sejak awal tahun ini Kampung Gusai dan Jeram Perahu yang terletak di pedalaman daerah ini mula mendapat perhatian pelancong Eropah selain pelawat domestik sudah mengenali kawasan tersebut sebelum ini.
Perkara ini merupakan usaha yang digerakkan oleh Tourism Pahang dan pengusaha syarikat pelancongan di Taman Negara yang terus berusaha mempromosi kawasan pedalaman Ulu Tembeling sebagai fokus baharu destinasi berasaskan ekopelancongan negeri ini.
Pengurus Pemasaran Ismail Travel & Tours Sdn. Bhd. Kuala Tahan, Abdullah Chik berkata, mulai awal tahun ini, syarikat tersebut sudah mengendalikan lawatan antara 80-100 pelawat domestik dan pelancong Mat Salih ke Kuala Tahan termasuk destinasi cukup popular, iaitu Kampung Gusai dan Jeram Perahu di Ulu Tembeling.
“Pakej lawatan ini kian bertambah, apabila kita rajin membuat promosi dan sudahpun menerima banyak tempahan pelancong dari negara Perancis antara yang berhasrat untuk melawat Ulu Tembeling mulai bulan Mac ini secara berperingkat.
“Ini merupakan hasil lawatan seramai 12 orang pelancong negara tersebut sebelum ini ke Kampung Gusai dan Jeram Perahu termasuk singgah di Taman Negara Kuala Tahan sebelum menyambung ke destinasi di Ulu Tembeling,” katanya di Kuala Tahan dekat sini semalam.
Menurut Abdullah, segala program lawatan yang diatur termasuk kendalian syarikat pelancongan lain bergantung kepada keadaan cuaca dan sambil berharap musim panas kembali pada Mac ini dan seterusnya bagi membolehkan pengunjung rancak ke Ulu Tembeling. – UTUSAN










