LIPIS : Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengetuai konvoi 150 motosikal sejauh 80 kilometer dari bandar Kuala Lipis ke Kem Sungai Relau untuk mempromosi Lipis Geopark Kebangsaan di Merapoh dekat sini hari ini.
Program serampang dua mata itu juga bersempena pelancaran penubuhan Kelab Mr Angkatan Ronda Millennium (Mr ARM) iaitu sebuah kelab motosikal baharu daerah itu yang dianggotai oleh anak muda dan peminat motosikal.
Abdul Rahman berkata, peserta terdiri daripada anggota Mr ARM buat pertama kali berkonvoi secara berdisiplin dan berhemah turut membantu kerajaan mempromosi Lipis Geopark Kebangsaan kepada pengunjung luar mengenai aktiviti pelancongan berasaskan sejarah, budaya, kesenian dan geologis di Lipis.
“Sejak Lipis Geopark Kebangsaan dilancarkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Januari lalu, ramai pengunjung datang ke daerah ini untuk melihat artifak sejarah British abad ke-19 di bandar Kuala Lipis, kompleks gua batu kapur di Merapoh dan beberapa tempat lain sekali gus merancakkan pembangunan pelancongan di sini.
“Aktiviti ini juga dapat memberikan pengetahuan aspek sejarah dan nilai geologis termasuk alam sekitar di Lipis kepada anak muda supaya mereka menghargai serta terus memberikan sumbangan sebagai penggiat atau ejen pelancongan di sini dalam apa juga bidang pekerjaan seperti pengusaha, pemandu pelancong, penggerak aktiviti ekstrem seperti pendaki, eksplorasi gua, kebudayaan dan kesenian termasuk penulis konten laman sosial dalam usaha mempromosi Lipis Geopark Kebangsaan,” katanya di Kem Sungai Relau, Merapoh dekat sini hari ini.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, aktiviti berkonvoi itu juga disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long juga singgah berziarah di dua buah rumah warga emas bagi menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur sambil beramah mesra dengan keluarga berkenaan.
“Saya berterima kasih ahli jawatankuasa UMNO Lipis yang menyelenggarakan program ini, manakala penghargaan kepada Ibu Pejabat Daerah Lipis dan Balai Balai Polis Merapoh membantu kelancaran laluan konvoi serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang mengatur aktiviti rekreasi di Kem Sungai Relau Merapoh,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Tugas Khas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mohd Zakwan Abdullah yang turut berkonvoi berkata, aktiviti tersebut juga berkongsi maklumat ketika berehat di Kem Sungai Relau Merapoh apabila Abdul Rahman menjelaskan kemahiran pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam industri automotif dan permotoran untuk menarik minat anak muda dalam bidang tersebut.
“Bidang automotif dan permotoran termasuk komunikasi antara keperluan dalam sektor industri pelancongan lebih lagi daerah ini sudah diisytiharkan sebagai Lipis Geopark Kebangsaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp) yang memerlukan kemahiran ini dan sebagainya dikuasai kalangan belia di sini,” ujarnya. –UTUSAN










