Cadangan bina hospital ihsan di Gaza akan dibawa ke Kabinet

Cadangan bina hospital ihsan di Gaza akan dibawa ke Kabinet

Dr. Dzulkefly Ahmad dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd.Azmi Abdul Hamid (dua dari kanan), bergambar dengan salah seorang penyumbang pada Majlis Makan Malam Amal Tabung Pembangunan Semula Gaza, di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membawa cadangan pembinaan sebuah hospital ihsan dalam usaha membantu membangunkan semula Gaza selepas pasca peperangan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam agenda pembinaan hospital itu.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza selepas pasca peperangan ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.

“KKM bersedia menyiapkan cadangan berkenaan kerana pastinya ia memerlukan dana, saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang, paling tidak nota kepada jemaah Menteri.

“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membangunkan semula Gaza. Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan satu daripada agendanya pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan.

“Tidak dapat ditentukan lagi (bentang nota) tetapi dalam waktu yang agak munasabah. Sebelum ke majlis ini, saya sudah maklum kepada Ketua Pengarah (KKM), akan bincang perkara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Makan Malam Amal Untuk Gaza di sini, malam tadi.

Dalam masa sama, KKM bersedia menghantar doktor dan petugas  bagi memenuhi keperluan perubatan warga Palestin ketika pasca peperangan di negara itu.

Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai doktor yang bersiap sedia untuk ditugaskan kelak dan ia berkemungkinan tertumpu kepada keperluan perubatan seperti kepakaran pembedahan dan penyakit-penyakit lain.

“Namun, apa yang pasti kita sentiasa bersedia mendaftarkan mereka (doktor) bagi pasca perang Palestin,” katanya.

Program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu berjaya memperoleh sumbangan wang sebanyak RM30 juta dan lima ambulans bagi membantu rakyat Palestin.

Utusan Malaysia pada 15 November tahun lalu melaporkan KKM sudah membuka permohonan kepada petugas kesihatan yang bersedia menyertai pasukan perubatan ke Gaza.

Latihan bersesuaian akan diberikan kepada pasukan perubatan itu kerana melibatkan proses merawat mangsa bencana peperangan.

KKM turut menyediakan bantuan kemudahan kelengkapan perubatan seperti alat consumable iaitu syringe pump, suture, IV cannula, dressings dan bandage selain perkhidmatan neurosurgery dan surgical trauma.

Tambah Dzulkefly, pemulihan dan pembinaan semula Gaza selepas peperangan merupakan isu yang turut perlu difokuskan semua pihak.

“Ia melibatkan pembangunan semula faktor pendidikan, kesihatan, infrastruktur, sosial dan ekonomi Palestin.

“Justeru, kerajaan Madani bersama NGO seperti MAPIM akan terus bekerjasama bagi memastikan agenda itu dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×