Enakmen Syariah Kelantan tidak digubal secara tergesa-gesa

Enakmen Syariah Kelantan tidak digubal secara tergesa-gesa

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengesahkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri ini bukan dibuat secara tergesa-gesa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, kesemua proses itu melibatkan beberapa kali perbincangan dan turut membabitkan penasihat undang-undang dan barisan peguam.

“Kita tidak buat (Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tergesa-gesa dan mengambil kira banyak perkara. Bagi saya isu ini (sambil lewa) tidak berbangkit.

“Hal ini kerana kita ada jawatankuasa. Bukan Kelantan sahaja ada undang-undang ini (Syariah) dan hampir seluruh negeri ada (Enakmen Kanun Jenayah Syariah). Cuma selama ini, tiada orang yang cabar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, tidak timbul isu berkait dengan kekurangan pada undang-undang tersebut tetapi lebih kepada isu soal bidang kuasa antara negeri dengan Persekutuan.

“Apabila negeri, kita anggap agama ini bawah bidang kuasa sultan, negeri. Jadi, adalah bidang kuasa yang kita buat (kerajaan negeri) dan Pusat ada bidang kuasanya. Itulah perkaranya.

“Dari situ masalahnya ialah tafsiran. Tafsiran bidang kuasa, jenayah dan itulah perkara yang dibincangkan oleh ahli undang-undang. Undang-undang (Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019) ini sudah diperkenankan oleh Tuanku Sultan (Sultan Muhammad V).

“Jadi timbul persoalan, kenapa ia dicabar. Macam kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman tiada asas untuk cabar. Hal ini kerana dia (Nik Elin Zurina) tidak dikenakan lagi hukuman ini,” ujarnya.

Naib Presiden Pas berkata, daripada keputusan itu beliau melihat kedudukan Mahkamah Syariah lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil.

“Inilah yang Pas perjuangkan sebelumnya iaitu Rang Undang-Undang 355 (RU355) sebab kita mahu meningkatkan lagi kuasa Mahkamah Syariah.

“Yang berlaku hari ini adalah kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah yang kecil dan sempit. Jadi, itulah isu besarnya,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 bagaimanapun memutuskan dua peruntukan iaitu Seksyen 13 dan Seksyen 30, sah.

Seksyen 13 menyatakan kesalahan menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral manakala Seksyen 30 ialah melibatkan perkataan yang boleh memecahkan keamanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN